1,000 Tealive

Kuala Lumpur: Loob Holding Sdn Bhd, pengendali Tealive, meletakkan sasaran untuk membuka cawangan ke-1,000 dalam tempoh tiga tahun, didorong oleh tahap kesetiaan jenama yang kukuh dan fokus berterusan terhadap kemudahan pelanggan dan strategi digital.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, pihaknya menghargai sokongan pelanggan di Malaysia sehingga Tealive berjaya membuka 600 cawangan dalam tempoh empat tahun walaupun dengan wabak yang melanda ketika ini.

“Kami merancang membuka 130 hingga 150 cawangan setiap tahun, terutama di Johor, pantai timur serta Sabah dan Sarawak dan akan memiliki sejumlah 1,000 kedai dalam tempoh tiga tahun,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran maya sambutan pembukaan cawangan ke-600 di Gelang Patah, Johor, minggu lalu.

Menurutnya, apabila wabak melanda, pihaknya segera mengubah strategi dan melancarkan platform e-dagang dalam talian dan menjadi syarikat pertama yang memasarkan kit DIY bubble tea.

“Matlamat utama kami untuk memudahkan pelanggan Tealive yang terkurung di rumah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama di mana mereka mempunyai masa lapang yang banyak namun tidak dapat menikmati minuman kegemaran mereka,” katanya.

Loo berkata, pihaknya merancang untuk terus menumpukan usaha mendigitalkan perniagaan ini dan mengutamakan aspek kemudahan pelanggan merangkumi penawaran pelbagai saluran pesanan dan pembayaran tanpa sentuhan – imbas untuk pesanan, pesanan lebih awal dan model pandu-masuk di seluruh rangkaian cawangan.

Tealive kini memiliki 10 kedai pandu-lalu dan lebih 100 kedai pandu-masuk di mana pelanggan boleh membuat pesanan lebih awal dan memarkir di ruang khas ketika menunggu minuman dihidangkan kepada mereka dalam keselesaan kenderaan mereka sendiri.

Pada peringkat kedai pula, pihaknya menerapkan format Tealive 3.0 yang menampilkan ruang bakeri khusus, Tealive Eats dan panel pesanan-sendiri di pintu masuk kedai di mana pelanggan boleh membuat pesanan dan pembayaran secara dalam talian sebelum memasuki kedai untuk mengambil pesanan mereka.

Bagi meraikan kejayaan pembukaan kedai ke-600 ini, Tealive menawarkan 60 minuman percuma setiap hari selama enam hari bermula 20 Mei ini di Tealive Taman Nusantara di Gelang Patah, Johor.

Pelanggan Tealive di seluruh negara pula berpeluang memenangi beg tote Edisi Terhad Oxwhite x Tealive dan baucar tunai apabila mereka membeli minuman bermula dari 20 Mei ini hingga 25 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.