11 dikompaun langgar SOP, minum ketum

[email protected]

Butterworth: Tindakan 11 lelaki termasuk seorang penjawat awam melepak untuk minum air ketum membawa padah apabila mereka masing-masing dikompaun RM1,500 ketika polis mengadakan operasi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini, petang semalam.

Polis mengadakan pemeriksaan pada jam 4.30 petang ke atas sebuah pondok berhadapan flat Bagan Dalam, di sini, yang sering dijadikan tempat minum ketum.

Difahamkan, polis sudah beberapa kali membuat serbuan di kawasan itu namun ramai masih ingkar serta berterusan menjadikan pondok berkenaan sebagai tempat berkumpul dan minum air ketum.

Berikutan itu, polis mengeluarkan kompaun ke atas 11 lelaki berusia 30 hingga 40 tahun atas kesalahan dilakukan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, secara keseluruhannya polis mengeluarkan 38 kompaun berjumlah RM65,000 dalam operasi semalam.

“Polis daerah ini tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan terus mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang didapati melanggar SOP.

“Tambahan pula, masih ramai yang mengambil mudah dengan arahan walaupun berkali-kali nasihat diberikan.

“Oleh itu, dalam operasi yang dijalankan semalam sebanyak 38 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP dikeluarkan ke atas mereka yang ingkar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, percubaan merentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran juga masih lagi berlaku.

“Semalam terdapat satu kesalahan rentas negeri dan satu rentas daerah tanpa surat kebenaran dikesan. Apabila disoal kebanyakannya memberi alasan tidak munasabah dan menyebabkan polis terpaksa mengeluarkan kompaun serta mengarahkan supaya berpatah balik,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis mendapati terdapat individu yang masih tidak memahami SOP PKP 3.0 berikutan melakukan kesalahan seperti tiada apa-apa berlaku.

“Antaranya ada yang pergi beriadah dengan mandi di pantai dan menaiki satu kereta lebih daripada tiga orang yang kedua-dua perkara ini melanggar SOP.

“Polis akan terus mengadakan pemantauan sepanjang pelaksanaan PKP dalam membantu kerajaan untuk menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.