12 kluster Covid-19 berkaitan sambutan Aidilfitri

[email protected]

Kuala Lumpur: Sebanyak 12 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan sambutan Aidilfitri dikesan Kementerian Kesihatan (KKM), setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster komuniti berkenaan dilaporkan di tujuh negeri iaitu Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Labuan.

Menurutnya, seramai 470 individu dalam kluster terbabit disahkan positif Covid-19 daripada 2,541 saringan yang dilakukan.

“Hari ini adalah hari ke-14 Syawal iaitu dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam seluruh negara.

“Sehingga 13 Syawal atau semalam, 12 kluster komuniti (sub-kluster hari raya) dikesan di tujuh negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Dalam hantaran itu, Dr Noor Hisham turut memuat naik carta yang memaparkan jumlah kes dan kluster terbabit.

Katanya, satu kes disahkan meninggal dunia membabitkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor.

“Manakala dua orang yang dijangkiti, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) membabitkan Kluster Simpang Sahari di Labuan,” katanya.

Katanya, jumlah kes bagi kluster berkenaan dijangka akan meningkat dan membabitkan lebih banyak negeri.

Antara kluster sambutan Aidilfitri adalah Jalan Tahir Manan (Selangor), Kluster Kampung Pangkal Payung (Kelantan), Kluster Kepulauan Tumpat (Kelantan), Kluster Padang Lalang Dua (Pulau Pinang) dan Kluster Jalan Dara (Pahang), Kluster Simpang Sahari (Labuan), Kluster Patau-Patau (Labuan), Kluster Melikai (Sabah), Kluster Deluxe (Sabah), Kluster Abaka (Sabah), Kluster Muhibbah Dua (Sabah) dan Kluster Taman Sourabaya Indah (Sarawak).

Sabah menyumbang 33.33 peratus kes, manakala Kelantan dan Labuan masing-masing 16.67 peratus.

Selain itu, Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing menyumbang 8.33 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.