2 gajah betina mati disyaki termakan racun

[email protected]

Johor Bahru: Dua gajah betina ditemui mati disyaki termakan racun di sebuah kebun sayur berhampiran Empangan Kahang dan Hutan Simpan, Kluang di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima aduan awam berkaitan dengan penemuan bangkai dua gajah itu, kira-kira jam 5 petang.

Katanya, susulan aduan itu, pihaknya bergegas ke lokasi aduan dan mengesahkan aduan yang diterima.

“Hasil siasatan awal mendapati, bangkai itu membabitkan dua gajah betina yang dianggarkan berusia lima hingga enam tahun. Tiada kesan tembakan ditemui pada badan atau kepala gajah.

“Berdasarkan keadaan bangkai adalah disyaki kedua-dua gajah mati dalam tempoh satu atau dua minggu lalu disebabkan termakan racun.

“Gajah berkenaan dari kumpulan gajah Tenggara yang dianggarkan seramai 25 hingga 30 ekor yang sering berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan bagi mencari makan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan proses pengambilan beberapa sampel bagi mengenal pasti punca sebenar kematian gajah, sebelum bangkai gajah dilupuskan secara ditanam di kawasan berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.