2 kementerian bekerjasama pantau harga barangan pertanian

[email protected]

TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan bekalan serta harga barangan pertanian sentiasa stabil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata usaha itu dilakukan untuk memastikan situasi menang-menang di antara petani dan pengguna.

Katanya, ia juga bagi memastikan petani dan penternak tidak terniaya manakala pengguna pula mendapat harga yang berpatutan.

“Kita memang mempunyai hubungan yang rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana mereka jaga peladang, kita jaga pengguna.

“Kalau kita kekurangan ayam kita tiada kuasa untuk keluarkan (bekalan) tetapi harga di bawah kita. Hubungan kita terlalu rapat ada masalah kita akan bincang,” katanya selepas melakukan lawatan dan pemeriksaan minyak masak dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar Teluk Intan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga sayuran di pasaran, malah penurunan harga berbanding ketika musim perayaan sebelum ini.

“Contohnya macam cili sebelum ini ketika musim perayaan kita tetapkan harga RM15 sekilogram, hari ini RM6 sekilogram.

“Harga ini bergantung kepada jenis kesegaran sayur tetapi kalau ada maklumat (kenaikan harga) boleh maklum kepada kita,” katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, sebanyak 160 kes membabitkan syarikat dan individu yang gagal mematuhi SOP mengikut Akta 342 dengan nilai kompaun RM1.09 juta dicatatkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 sehingga 11 Jun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.