2 polis iringi pasukan vaksin polio maut ditembak

PESHAWAR: Dua anggota polis mati ditembak ketika mengiringi pasukan vaksinasi polio di barat laut Pakistan hari ini, yang juga serangan kedua seumpamanya tahun ini.

Petugas kesihatan yang diiringi pasukan keselamatan sedang menjalankan kempen imunisasi rumah ke rumah di sebuah kampung berhampiran bandar Mardan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, ketika serangan itu berlaku.

Polio sudah berjaya dihapuskan di seluruh dunia kecuali di Afghanistan dan Pakistan, di mana sikap tidak percaya kepada vaksin dan pasukan vaksinasi semakin meluas.

Pegawai polis daerah, Zahid Ullah, berkata dua penyerang datang dengan menaiki motosikal dan seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah anggota polis, menyebabkan dua anggota maut di tempat kejadian,” katanya kepada AFP.

Seorang lagi pegawai polis, Omar Ali, turut mengesahkan kematian berkenaan.

“Petugas wanita sedang berada di dalam sebuah rumah untuk memberikan suntikan polio ketika anggota polis ditembak,” katanya.

“Setakat ini, belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun kumpulan Islam menentang vaksin semakin meningkat di Pakistan.

“Terutama selepas CIA melaksanakan program imunisasi palsu dalam usaha mengesan pengasas Al-Qaeda, Osama bin Laden, di wilayah itu 10 tahun lalu,” katanya.

Petugas kesihatan juga terpaksa berdepan penyokong teori konspirasi yang percaya kononnya vaksin adalah agenda Barat untuk memandulkan kanak-kanak Islam.

Pada Januari lalu, seorang anggota polis terbunuh dalam kes tembakan hampir sama di wilayah itu manakala pada Mac lalu, tiga wanita yang terbabit dalam program imunisasi polio maut ditembak di sempadan negara itu.

Usaha terbaru imunisasi polio selama seminggu di Pakistan bermatlamat untuk mevaksin lebih 33 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun, dengan bantuan kira-kira 260,000 petugas barisan hadapan.

Negara dengan 220 juta penduduk itu melaporkan satu kes polio tahun ini, namun merekodkan 147 kes pada 2019 sebelum turun kepada 84 kes tahun lalu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.