2,000 penuntut UMS balik raya

[email protected]

Kota Kinabalu: Kira-kira 2,000 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka pulang ke kampung halaman masing-masing susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Aidilfitri.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, penuntut terbabit dihantar secara berperingkat bermula semalam sehingga 12 Mei ini.

“Pihak kita melaksanakan inisiatif bagi menguruskan penghantaran pelajar ini dengan menyediakan lima bas mengikut kawasan setiap hari dan pengangkutan dua kali sehari ke lapangan terbang bagi pelajar yang balik ke Semenanjung.

“Kesemua penuntut yang pulang ini dijangka akan kembali ke kampus pada 15 Mei ini. Apabila tiba masa kembali ke sini, kami meminta mereka untuk melaporkan kepada kami.

“Pada masa sama, seramai 4,500 orang penuntut tinggal di kampus semasa cuti Aidilfitri. Dalam tempoh itu, kita akan menjaga kebajikan mereka dengan menyediakan makanan di samping menjaga keselamatan mereka di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau pergerakan pelajar UMS menaiki pengangkutan mengikut masing-masing bertempat di Padang Kawad UMS, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pelajar yang kembali ke kampus kelak tidak perlu melalui prosedur kuarantin.

“Pelajar ini tidak akan menjalani kuarantin cuma pihak kita menasihatkan mereka menjaga prosedur operasi standard (SOP) walaupun berada di dalam rumah apabila sampai di kampung masing-masing nanti.

“Bagi pelajar yang pulang dari Semenanjung pula, prosedur isolasi selama 10 hari akan dilaksanakan ke atas pelajar yang datang dari kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.