Indonesia bimbang wujud ‘kluster baju raya’

Riau: Beroperasi umpama pusat judi dengan pintu ditutup rapat seolah-olah tidak berpenghuni namun, ternyata di dalamnya terdapat ratusan individu berkerumun untuk memilih baju raya.

Itulah yang berlaku di Kota Pekanbaru, di sini ketika pihak berkuasa melakukan operasi pemeriksaan sekitar bandar ini.

Ketua Polis Riau, Sunarto berkata, di saat kes Covid-19 masih belum surut masih terdapat segelintir warganya yang enggan mematuhi peraturan berkaitan Covid-19.

“Kami mendapati ratusan warga bandar ini membeli pakaian dan mengabaikan protokol kesihatan.

“Malah, pemilik kedai menutup pintu seperti tidak beroperasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Aktiviti ini sangat berbahaya dan mengundang risiko penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, di Jakarta, pasar Tanah Abang terus menjadi tumpuan dan sesak dengan pengunjung sejak hujung minggu lalu.

Selain sesak, beberapa pengunjung juga dilihat tidak mematuhi protokol kesihatan seperti penggunaan pelitup muka.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan ketika membuat kunjungan Sabtu lalu mengakui berlaku peningkatan jumlah pengunjung hingga mencecah 87,000 orang hanya pada Sabtu lalu.

Sementara itu, Dewan Pakar Ikatan Ahli Kesihatan Masyarakat Indonesia (IAKMI), Hermawan Saputra berkata, apa yang terjadi di Tanah Abang seharusnya menjadi peringatan bagi semua pihak dalam menghadapi Covid-19.

“Keadaan sangat membimbangkan di Jakarta. Terdapat ratusan ribu orang berkumpul, kadar positif masih 10 peratus dan kemungkinan penularan kes boleh berlaku serta mewujudkan kluster baru,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku di Tanah Abang membawa kemungkinan wujudnya individu yang sudah mula pulang ke kampung atau mudik sebelum tempoh larangan bermula.

“Saya melihat ini sebagai ancaman serius. Jika ada yang membeli baju baru, ia bermakna akan berlaku pergerakan dan aktiviti berkumpul pada hari lebaran nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hit Counter