SOP sukan, rekreasi dilonggarkan

KUALA LUMPUR: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat semula keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei ini.

Antara kelonggaran yang dipertimbangkan adalah aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan terbuka tanpa sentuhan fizikal seperti joging, berbasikal, senaman dan lain-lain dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter.

Aktiviti berkenaan boleh dijalankan bermula esok dan hendaklah dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

Sementara itu, kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam mesyuarat teknikal MKN yang seterusnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berterima kasih kepada ahli sidang khas MKN khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Beliau turut berharap peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan COVID-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.