Angka korban di Gaza mencecah 83 orang

Gaza: Angka korban serangan Israel terhadap Gaza kini mencecah 83 orang termasuk 17 kanak-kanak.

Seramai lebih 480 yang lain cedera.

Al Jazeera melaporkan, sekurang-kurangnua enam askar Israel terbunuh.

Pertempuran terbaru antara Palestin dan Israel bermula Isnin lalu berpunca daripada insiden di Masjid al-Aqsa, susulan tindakan Israel yang mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Selain itu, ia juga disebabkan tindakan pasukan keselamatan Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza pada malam Isnin dan Selasa, sebagai tindak balas kepada Hamas yang melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Pada malam Selasa, Hamas melancarkan roket menyasarkan hab ekonomi Israel, Tel Aviv, sebagai tindak balas kepada Israel yang melancarkan serangan memusnahkan satu blok bangunan 12 tingkat di Gaza.

Terdahulu, Hamas mengesahkan komandernya, Bassem Issa terkorban dalam serangan udara oleh tentera Israel, bersama beberapa pejuang kanan kumpulan itu.

Sumber tempatan yang dilapor Al Jazeera memaklumkan, jet pejuang Israel mengebom kawasan milik kumpulan bersenjata Palestin, selain bangunan keselamatan dan polis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hit Counter