Poovaa kembali nostalgia lagu raya

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kecintaan penyanyi bukan Melayu, Poovaa, 40, menyanyikan lagu berbahasa Melayu kini diteruskan menerusi lagu raya lama yang diberi nafas baharu.

Poovaa atau nama sebenarnya, Poovanesvary Sri Rama bersemangat menghidupkan kemeriahan sambutan Syawal menerusi lagu Bersama Di Hari Raya yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Cenderawasih pada era 1980-an.

Tahun lalu, Poovaa pernah merakamkan lagu Warisan nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dalam usaha menaikkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

“Sebenarnya, sudah lama saya mendambakan peluang merakamkan lagu raya. Tidak sangka, rezeki akhirnya menyebelahi saya, tahun ini.

“Ketika berbincang dengan pihak pengurusan, mereka mencadangkan lagu Bersama Di Hari Raya yang dicipta Adnan Maswan dan A Husaini Ajmain.

“Secara peribadi, saya mengenali dan tahu kewujudan kumpulan Cenderawasih yang dianggotai adik beradik, Helen dan Irene Savari. Cuma, tidak sangka mereka ada lagu raya yang sedap didengar.

“Selepas sesi perbincangan, akhirnya kata putus dipersetujui. Ia lagu raya pertama saya dinyanyikan dengan versi tersendiri,” katanya kepada BH Online.

Kata pemenang trofi Artis Baru Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik Ke-21 pada 2014 itu, dia mempunyai sebab memilih lagu berkenaan untuk dirakamkan.

“Saya mahu mengembalikan nostalgia penyanyi bukan Melayu yang menyanyikan lagu raya seperti dilakukan kumpulan Cenderawasih.

“Ini juga usaha berterusan saya untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu. Saya cuba menyanyi dengan versi sendiri, namun masih mengekalkan identiti asal lagu berkenaan.

“Malah, sebelum rakaman, saya banyak mendengar lagu raya lain untuk cuba menghidupkan mood raya. Harap percubaan saya dapat diterima,” katanya.

Penyanyi lagu Karya itu turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam.

“Buat peminat, teman artis dan mereka yang mengenali saya, didoakan dalam sambutan serba sederhana seiring situasi semasa COVID-19, kemeriahan lebaran akan terus dirasai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hit Counter