JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan mengadakan mesyuarat khas antara pentadbiran negeri, Ahli Parlimen serta ahli dewan undangan negeri (ADUN) minggu depan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 di negeri itu, segera dibendung.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata kerajaan Johor memberi jaminan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Patik menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri ini mengadakan perbincangan berhubung kebajikan rakyat Johor susulan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini.
“Perbincangan ini akan lebih memperkukuh dan menambah baik segala usaha yang telah dan akan diambil kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan untuk membendung pandemik COVID-19 di Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan pentadbiran kerajaan negeri, semua Ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) di negeri ini supaya memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 segera dibendung.
Dalam muat naik di Facebook rasmi Sultan Johor, baginda turut menitahkan mereka yang terkesan akibat wabak itu hendaklah segera dibantu.
Sementara itu, Hasni berkata, antara perbincangan yang akan dilakukan termasuk bagi meningkatkan kapasiti Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) sedia ada dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Johor.
“Walaupun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa, kerajaan negeri akan memastikan Setiausaha Kerajaan dan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk memastikan kelancaran perbincangan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian