SKMM nafi beri arahan rampas telefon Syed Saddiq

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Sbdul Rahman berkata, telegon bimbitnya disita oleh pihak polis selepas beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menafikan tuduhan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa ia mengeluarkan “arahan” kepada polis supaya merampas telefon bimbit bekas menteri belia dan sukan itu.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu menegaskan sebagai agensi teknikal dalam membantu siasatan polis, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Sebaliknya, SKMM akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal sesuai dengan keperluan siasatan secara telus tanpa sebarang agenda terselindung, termasuk agenda politik,” menurutnya.

Dalam pada itu, SKMM juga menafikan kewujudan “unit khas” dalam kementerian berkaitan untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain, seperti didakwa oleh Syed Saddiq.

“SKMM berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ASKMM) 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta susunan organisasi SKMM yang dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakan.

“Dalam hal ini, pihak SKMM ingin menjemput Syed Saddiq untuk hadir ke SKMM dan pihak suruhanjaya bersedia memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasinya yang juga boleh didapati di laman sesawang rasmi SKMM,” katanya.

Telefon bimbit milik bekas menteri belia dan sukan itu disita oleh pihak polis selepas beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Menurut polis, ia adalah sebahagian daripada prosedur bagi membantu siasatan berhubung video yang dimuat naik oleh beliau di media sosial pada 28 April lalu mengenai kematian tahanan, A Ganapathy ketika dalam jagaan polis.

Syed Saddiq berkata, selain merampas telefon bimbitnya, polis atas arahan SKMM turut mengambil akses akaun Instagram dan Tik Tok miliknya.

Beliau mendakwa tindakan terhadap beliau itu “didalangi” oleh SKMM dan “bermotif politik”.

Syed Saddiq kini disiasat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan (kesalahan menakutkan secara jenayah) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.