Ketua WHO puji usaha kukuhkan pertubuhan

GENEVA: Anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersetuju memperkuatkan agensi global itu bagi menghadapi krisis kesihatan pada masa depan terutama aspek kewangan.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pengalaman menghadapi pandemik COVID-19 dalam keadaan serba mencabar menjadi iktibar memeterai perjanjian itu.

“Banyak perincian langkah konkrit masih perlu diselesaikan, memandangkan anggota masih berdebat mengenai berapa banyak kuasa yang harus diserahkan kepada badan induk, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, resolusi yang diluluskan pada hari terakhir mesyuarat tahunan badan kesihatan PBB membabitkan 194 negara anggotanya adalah sesuatu yang ‘bersejarah’ dan harus dipuji.

“Dunia memerlukan WHO yang lebih kuat sebagai paksi bagi membina infrastruktur kesihatan global,” katanya.

Selepas hampir dua tahun wabak COVID-19 yang menjangkiti lebih 171 juta orang dan mengorbankan lebih 3.5 juta mangsa, negara anggota bersetuju memperkuatkan WHO.

Resolusi 14 halaman yang disahkan itu antara lain mengandungi mandat untuk menghilangkan ketidakpastian mengenai pembiayaan pertubuhan itu.

Negara anggota bertekad untuk memastikan pembiayaan anggaran program WHO yang mencukupi, anjal, lestari dan dapat diunjurkan.

Hanya sekitar 16 peratus daripada anggaran perbelanjaan agensi pada masa ini disumbangkan dari yuran keahlian biasa dan selebihnya adalah sumbangan sukarela yang banyak diperuntukkan oleh negara berdasarkan projek tertentu.

Tedros menyatakan bahawa walaupun berada di tengah krisis, tahap pendanaan yang rendah dan tidak menentu bermaksud perancangan program bergantung kepada kitaran kewangan yang semakin kurang lagi tidak menentu.

“WHO tidak dapat bertahan secara kukuh tanpa pembiayaan yang berterusan,” katanya dalam ucapan penutup kepada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-74.

Panel pakar mendapati bahawa kebanyakan negara dan institusi tidak bersiap sedia menghadapi COVID-19 apabila kali pertama menghadapi pandemik sebesar ini.

Mereka meminta keseluruhan sistem penggera global diperbaiki dan memantapkan WHO menjadi lebih kuat dan bebas untuk membantu mengekang wabak pada masa depan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hit Counter