‘Kita ‘reset’, bina semula segala-galanya dari awal’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Gabungan persatuan negeri yang keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyambut baik saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang seakan mahu konflik dalam pentadbiran sepak takraw dapat diselesaikan ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak’.

Justeru, gabungan yang kini bergelar G12 selepas Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) menarik diri daripada PSM, turut bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas seperti direncanakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) semalam.

“Saya dan rakan-rakan persatuan negeri yang keluar daripada PSM menyifatkan nasihat ataupun isyarat diberikan Datuk Seri Reezal ini perlulah diberi keutamaan bagi mencari penyelesaian yang tuntas.

“Sememangnya kita sudah menyatakan pendirian bahawa pembentukan sebuah gabungan baharu adalah jalan penyelesaian lebih baik kerana kita boleh ‘reset’ dan membina semula segala-galanya daripada awal.

“Namun, kita mendengar dengan jelas hala tuju diberikan menteri, bahawa semua pihak berkepentingan sama ada PSM ataupun kami, gabungan yang sudah keluar ini tidak wajar bertindak dengan mengambil jalan keluar yang mudah.

“Saya dan rakan-rakan mengambil maklum kami ada tanggungjawab lebih besar dan sejarah, maruah negara untuk dipertahankan. Oleh kerana itu, kami bersedia untuk berada di meja rundingan atau seperti apa disebut PJS, berada dalam Pasukan Petugas untuk mencari penyelesaian.

“Langkah-langkah penyelesaian ini perlu dikendalikan secara teliti kerana seperti sedia maklum, PSM sudah pun disingkirkan daripada ahli gabungan ASTAF, iaitu sebuah badan kawal selia sukan sepak takraw rantau Asia/Ocenia.

“Jadi di sinilah pentingnya untuk kita mencapai kata sepakat dan membentuk persefahaman antara semua pihak dan pastinya bantuan dan sokongan KBS serta PJS amat diperlukan bagi membolehkan segala tindakan penyelesaian ini selari dan mampu mematuhi peraturan, perlembagaan atau undang-undang ASTAF.

“Seterusnya, kita mahu pastikan negara ini mampu kembali berada dalam pelan pembangunan dan tidak tercicir daripada penyertaan sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa,” kata Presiden Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah.

Pasukan Petugas ini bakal menyaksikan PJS akan terus menjadi perantara antara PSM dan G12, selain badan pendaftar berkenaan turut diberi amanah untuk menerajui semakan semula perlembagaan PSM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.