Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

207,967 penduduk Kuantan terbabit PKPD mulai tengah malam ini

KUANTAN: Seramai 207,967 orang atau 90 peratus penduduk daerah ini akan terbabit pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim selama dua minggu, berkuat kuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata sepanjang tempoh PKPD itu, laluan tikus ke Kuantan akan ditutup sepenuhnya menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri.

Selain itu, sekatan jalan raya akan diadakan di enam lokasi laluan utama keluar masuk daerah ini, termasuk Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, Gambang dan laluan Pekan-Kuantan.

“Tindakan kompaun akan diambil ke atas mereka yang melepasi sempadan tanpa kebenaran, dengan tiada sebarang kompromi atau belas kasihan kerana pemakluman PKPD sudah dihebahkan, tambahan pula kes COVID-19 meningkat secara mendadak di Kuantan.

“Selain penghadang dan kawat duri, pasukan kereta peronda (MPV) serta unit rondaan bermotosikal (URB) akan melakukan pemantauan berkala di laluan tikus bagi memastikan tiada cubaan keluar masuk kawasan PKPD,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Kuantan, Abd Jalil berkata, cuti pegawai dan anggota khususnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, masih dibekukan walaupun Bukit Aman sudah membenarkan kelulusan cuti, seminggu selepas Aidilfitri.

Selain itu, kira-kira 60 pegawai dan anggota dari IPK Pahang ‘dipinjamkan’ ke IPD Kuantan sepanjang tempoh PKPD berikutan pihak berkuasa memerlukan kekuatan 300 tenaga kerja setiap hari bagi pelbagai penugasan berkaitan pematuhan SOP.

Pegawai serta anggota polis adalah yang paling ramai ditugaskan, selain pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan, kakitangan pejabat kesihatan dan sebagainya.

“Masyarakat mungkin memandang ringan penugasan sekatan jalan raya, sedangkan pegawai dan anggota terbabit perlu berdiri dua jam untuk memeriksa setiap kenderaan, sebelum digantikan.

“Setiap syif adalah selama lapan jam. Justeru, saya merayu orang ramai untuk membantu kami dengan mematuhi SOP,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Jalil mengingatkan penduduk di lima kawasan perumahan di Gau, Temerloh, yang juga dikenakan PKPD bermula tengah malam ini, supaya tidak meninggalkan rumah sebelum perintah itu berkuat kuasa, dengan mengambil iktibar kejadian di Taman Tanah Putih Baru, di sini.

Taman Tanah Putih Baru dikenakan PKPD pada 5 Mei lalu tetapi pihak berkuasa mendapati hampir 200 penduduk di situ ‘menghilangkan diri’ sehingga menyebabkan kerajaan negeri terpaksa meminta mereka pulang untuk menjalani ujian saringan secara percuma.

“Kita tidak mahu kejadian itu berulang kerana mereka yang melarikan diri berisiko menyebarkan wabak COVID-19 ke tempat lain berikutan tidak tahu status kesihatan sendiri,” katanya.

Sebagai tindakan awal, katanya, polis daerah terbabit membuat pemeriksaan dengan pemimpin setempat seperti penghulu, untuk memastikan tiada cubaan meninggalkan rumah.

“Untuk kali ini, polis tiada kompromi. Mereka yang dikesan meninggalkan rumah kerana mahu mengelak PKPD, akan dikenakan kompaun walaupun balik menyerah diri kepada polis, berbanding hanya amaran kepada penduduk Taman Tanah Putih Baru sebelum ini.

“Kita sudah memberi peringatan dan seharusnya orang ramai duduk saja di rumah dalam tempoh 14 hari ini, melainkan ada urusan yang membolehkan mereka keluar dengan pematuhan kepada SOP kerana kita tidak akan menerima alasan remeh,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version