#2367: Pernikahan Secara Online

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum pasangan pengantin bernikah secara online (atas talian) seperti melalui video call, video conference (sidang video) dan seumpamanya? 

 Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pernikahan melalui video secara langsung seperti Skype, Zoom dan seumpamanya adalah sah sekiranya mencukupi syarat dan rukun nikah, iaitu:

Rukun Nikah:

Suami
Isteri
Wali
Dua orang saksi
Lafaz ijab dan qabul (sighah)

Dari segi hukum Islam, dalam akad nikah, tidak semestinya jurunikah berada secara berhadapan secara fizikal. Namun yang paling penting, dia perlu berhadapan dan bercakap kerana salah satu daripada rukun nikah itu adalah wujudnya sighah. Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang melakukan akad (perjanjian) serta menunjukkan keredhaannya. Para fuqaha’ berpendapat yang terkandung di dalam sighah mestilah ijab (lafaz penawaran) dan qabul (lafaz penerimaan). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200)

Dr. Muhammad Zuhaili menjelaskan bahawa tidak terjadinya akad nikah melainkan dengan sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/53)

Sighah atau lafaz akad nikah bermaksud ijab dari wali dan qabul daripada pengantin lelaki. Contoh lafaz ijab ialah: “Aku kahwinkan kamu dengan anak perempuanku” atau “Aku nikahkan kamu dengan anak perempuanku.” Sementara contoh lafaz qabul pula ialah: “Aku terima kahwinnya anak perempuanmu” atau “Aku terima nikah anak perempuanmu” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan bernikahinya”. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/347)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut:

Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, sudah ada fatwa dari kalangan ulama’ termasuk Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 dalam isu ini. Bahkan di Wilayah Persekutuan juga turut dibincangkan isu seperti ini walaupun sebaik-baiknya ia dilakukan di satu tempat dalam keadaan secara zahir fizikal serta ada bersama-sama tukang akad dan yang kena akad.

Apabila kita menyebut video call seperti itu, bermakna seolah-olah pengantin lelaki berada di satu tempat, manakala pengantin perempuan di satu tempat yang lain, dan orang yang mengahwinkan pula berada di tempat yang lain. Maka berlakulah satu sidang video (

video conference) atau video call

Dalam isu ini juga, garis panduan berikut hendaklah dipatuhi dalam pelaksanaan majlis ini:

Memenuhi semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum Syarak
Tiada sebarang unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan
Majlis tersebut berlangsung pada tahap al-yaqin (bukan zhan)

Selain itu, semua peraturannya juga mestilah dirujuk kepada Badan Berkuasa negeri masing-masing.

Justeru, syarat-syarat yang dikemukakan perlulah dipatuhi dan berlaku dengan sebaiknya. Pengalaman kami ketika melaksanakan majlis akad nikah secara online dengan wujudnya di pihak lelaki dan perempuan saksi di samping kejelasan video call yang digunakan agar tidak timbul sebarang kecacatan. Sebagai contoh, selepas diijab dan kabul tersebut dijawab dengan pantas tanpa selaan masa yang lama serta didengar oleh kedua-dua belah pihak di dua tempat yang berlainan ini.

Penutup

Pernikahan dan akadnya adalah perkara yang mulia serta termeterainya satu perjanjian atau mithaq yang abhawa wujudnya tanggungjawab pasangan suami dan isteri. Justeru, para ulama amat menitikberatkan pelaksanaan akad nikah dan memperincikan pelbagai syarat termasuklah pasangan benar-benar layak untuk dikahwinkan tanpa sebarang halangan.

Persoalan berkenaan denagn video call atau sidang video yang digunakan pada majlis akad nikah kerana berjauhan atau sebab-sebab tertentu seperti keadaan yang tidak mengizinkan untuk bersama dalam satu majlis contohnya ketika COVID-19 dan lockdown, maka, kami berpendapat hukumnya adalah harus selari dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011.

Akad nikah melalui sidang video (video conference ini juga hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al majlis) agar penglibatan semuanya adalah secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul. Sekiranya telah cukup syarat-syaratnya serta selamat daripada sebarang bentuk penipuan, maka akad nikah yang dilakukan melalui cara begini adalah sah.

Justeru, kami berpendapat, bagi yang memilih untuk melakukan pernikahan melalui video call atau sidang video, maka la dibolehkan dengan syarat menepati dhawabit (garis panduan) yang telah dinyatakan.

Antara mereka yang memfatwakan dengan keharusan tersebut ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Mustafa al-Zarqa’, Dr. Wahbah al-Zuhaili dan Dr. Muhammad ‘Uqlah dan Dr. Abd al-Rahman al-Sind iaitu Ketua bahagian Fiqh al-Muqaran di al- Ma’had al-‘Ali li al-Qadha’.

Meskipun begitu, saya mengesyorkan agar perkara ini hendaklah dirujuk kepada ahli jawatankuasa atau badan berkuasa negeri masing-masing. Jika mereka membenarkan kaedah seperti itu, maka tidaklah ia menjadi masalah. (Lihat Soal Jawab COVID-19 Edisi Kemas Kini, hlm. 108)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Read More

Sumber Web: Maktabah al Bakri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.