#2713: Benarkah Rezeki Yang Cukup Adalah Rezeki Yang Terbaik?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar bahawa rezeki yang cukup dikatakan yang terbaik berdasarkan sebuah hadith. Adakah ia benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ‎﴿٥٦﴾‏ مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ ‎﴿٥٧﴾‏ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.

Surah al-Zariyat (56-58)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya, berdasarkan sebuah hadith di mana:

Diriwayatkan daripada Abu Wa’il bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) bertemu dengan Ali R.A. Hamba ini berkata kepada Ali: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuan aku.”

Saidina Ali R.A lalu berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadaku, jika engkau sebutkannya, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit Sobir maka Allah  SWT akan menunaikan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”  

Riwayat al-Tirmizi (3563), Ahmad (1319)

Imam al-Munawi menyebut: Sesiapa yang menyebutnya dengan niat yang benar, akan mendapat kesan pengabulan dengan segera. (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 1/809)

Kadang-kadang rezeki yang banyak tetapi masih tidak mencukupi. Tambahan pula, adanya sifat tamak yang menguasai diri manusia apatah lagi wujudnya sifat boros dalam berbelanja yang mengakibatkan kepincangan kehidupan dek kerana tidak pandai mengurus kewangan. Firman Allah SWT:

 وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

Surah al-Syura (27)

Seperkara lagi, dalam doa di atas, disebut cukupkan kepadaku dengan yang halal sahaja kerana kita tidak mahu yang haram berdarah daging dalam tubuh kita. Keduanya, kita memohon kurniaan Tuhan untuk mengkayakan kita bukan orang lain sebagaimana di hujung doa tersebut:

وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Yang membawa maksud, “Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.

Mengiktiraf rezeki dan kurniaan itu daripada Allah SWT merupakan sifat para nabi. Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman sebagaimana firman Allah SWT:

قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

Maksudnya: “Dia berkata, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya.

Surah al-Naml (47)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

The post #2713: Benarkah Rezeki Yang Cukup Adalah Rezeki Yang Terbaik? appeared first on Maktabah al Bakri.

Read More

Sumber Web: Maktabah al Bakri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.