3 kanak-kanak, 2 kakitangan maut dalam serangan di pusat jagaan

SAUDADES: Seorang penyerang berusia 18 tahun yang bersenjatakan pedang ala samurai menyerbu ke pusat jagaan kanak-kanak di Brazil semalam dan membunuh tiga kanak-kanak dan dua kakitangan, kata polis tempatan, menyebabkan bandar kecil di selatan itu terkejut.

Penyerang kemudian mengarahkan senjata ke arah dirinya sendiri, menetak leher, perut dan badannya sendiri, kata pihak berkuasa di Saudades, sebuah bandar dengan penduduk seramai 10,000 orang di negeri Santa Catarina.

“Dia dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal,” kata polis dalam satu kenyataan.

Pegawai tidak menjelaskan motif serangan mengerikan itu dan menyatakan penyerang tidak mempunyai rekod jenayah.

“Ketika anggota bomba tiba di pusat jagaan kanak-kanak, mereka melihat pemandangan yang sangat kejam. Sudah ada kanak-kanak yang mati, seorang pekerja juga,” kata pekerja kecemasan, Leonardo Ecco kepada wartawan.

Pekerja Aline Biazebetti, yang berada di rumahnya yang berhampiran dengan pusat jagaan kanak-kanak itu, menggambarkan bertapa ngeri apa yang berlaku.

“Saya mendengar jeritan, tangisan meminta tolong. Saya memberitahu ayah saya, ‘Ada sesuatu yang berlaku di tempat penjagaan anak.’ Saya keluar dan melihat rakan-rakan saya meminta pertolongan: “Tolong, panggil polis, seorang lelaki bersenjata masuk dan membunuh anak-anak,” kata Biazebetti, 27.

“Saya berjaya menghubungi polis. Mereka keluar dengan anak yang cedera, maka ayah saya mendapatkan kereta dan kami membawanya ke hospital.

“Umur kanak-kanak tidak dinyatakan. Media tempatan melaporkan bahawa pusat itu adalah untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga dua tahun.

Anak keempat mengalami luka ringan, kata ketua polis, Jeronimo Marcal Ferreira kepada wartawan di luar tempat penjagaan anak, di mana polis dan pekerja kecemasan telah menutup kawasan itu.

Seorang anggota polis menggambarkan senjata penyerang itu sebagai ‘ala samurai’ dan menunjukkannya kepada media, iaitu sebilah pisau panjang atau pedang pendek yang dibungkus dengan plastik kuning dan ditutup dalam beg bukti.

Gabenor Daniela Reinehr mengumumkan tiga hari berkabung di seluruh negeri.

Serangan sekolah terburuk yang terakhir di Brazil adalah pada Mac 2019, ketika dua bekas pelajar menembak mati lapan orang sebelum membunuh diri di sebuah sekolah menengah di bandar tenggara Suzano, dekat Sao Paulo. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.