Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

3 sahabat berhenti kerja jual kuih kapit

am@hmetro.com.my

Have you seen this video?

Balik Pulau: Bermula daripada sekadar mengisi masa lapang, kini tiga sahabat antara penduduk yang aktif mengusahakan pembuatan kuih sepit atau kuih kapit di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Jalan Baru, Kampung Titi Teras, di sini.

Inisiatif mengusahakan perniagaan kuih tradisional berkenaan tercetus selepas ketiga-tiga wanita terbabit mengambil keputusan untuk berhenti kerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.

Jamilah Osman, 64, berkata dia terlebih dahulu mengusahakan kuih kapit di rumah selepas berhenti kerja pada tahun 2004 dengan menggunakan resepi keluarga sejak lebih 50 tahun lalu.

Katanya, permintaan terhadap kuih itu bukan sahaja pada waktu perayaan tetapi turut laris ketika musim kenduri dan sebarang majlis.

“Tiada resepi rahsia malah bahan membuatnya juga mudah seperti tepung beras, santan dan gula selain mampu bertahan sehingga enam bulan.

“Pada mulanya, kuih ini dibakar di atas arang bagi membangkitkan aroma namun berikutan kos bahan berkenaan yang meningkat, ia dibakar menggunakan dapur gas,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sementara itu, Suriani Husain, 67, dari Paya Kongsi, berkata, sebelum pandemik Covid-19, mereka mendapat tempahan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, pembuatan kuih berperisa asli itu bermula pada jam 6.45 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Sejak pandemik, kami hanya bergantung kepada permintaan dan mampu menyiapkan sebanyak 1,200 keping sehari,” katanya.

Manakala Hamidah Mohamad, 49, pula berkata berikutan usaha itu mampu memberi pulangan modal kepada suri rumah di kawasan berkenaan, mereka merancang mahu mengusahakan kafe bertemakan makanan di kampung berhampiran PAWE.

“Usaha ini diharap dapat membantu suri rumah atau penduduk yang terjejas akibat pandemik menjana pendapatan selain menjadi tarikan pengunjung ke Balik Pulau kelak,” katanya.

Sementara itu Penaung PAWE Datuk Muhammad Farid Saad berkata, pusat di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Barat Daya itu sememangnya aktif dalam mempelbagaikan aktiviti komuniti sejak ditubuhkan pada 2014.

Katanya selain kuih kapit, penduduk turut mengusahakan pembuatan kerisik pada masa tertentu.

“Terdapat seramai 60 ahli PAWE dan mereka dibenar menggunakan premis ini bagi sebarang aktiviti secara percuma dan kita memang menggalakkan aktiviti yang dapat menjana pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Exit mobile version