3,000 dijangka hilang kerja

[email protected]

Kuala Lumpur: Kira-kira 3,000 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan jika hampir 600 cawangan bank di Malaysia ditutup dalam 10 tahun akan datang berikutan peralihan pelanggan kepada perbankan digital.

Setiausaha Agung Kesatuan Nasional Pekerja Bank (Nube), J Solomon berkata meskipun bank mencatat peningkatan perkhidmatan digital namun belum ada perbincangan kritikal mengenai kesan peralihan itu yang bakal mencetuskan penutupan operasi cawangan bank.

“Ini bukan sekadar kebimbangan dalam ruang lingkup siber, mesin, keuntungan dan pulangan kepada pemegang saham, tetapi lebih pentingnya adalah kehidupan serta kebajikan pekerja dan keluarga mereka,” katanya.

Syarikat perunding terkemuka Eropah, Roland Berger dalam kajian terkininya bertajuk Branching out – The future of retail banking networks baru-baru ini menjangkakan hampir 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia mungkin ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut kajian itu, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Sehubungan itu, Solomon berkata, Nube memohon kerajaan dan majikan bank berbincang dengan persatuan itu bagi mengetahui hala tuju operasi selepas langkah penutupan cawangan dilaksanakan.

Katanya, Nube turut menggariskan beberapa cadangan kepada majikan termasuk langkah meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula pekerja selain pengekalan atau penempatan semula pekerja kepada peranan lain untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan apabila ekonomi kembali pulih serta berkembang pesat.

“Bank juga perlu bertanggungjawab melatih pekerja dengan mengembangkan potensi mereka menjangkaui tugas semasa mereka serta menjangka perubahan masa depan.

“Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan sangat ‘bersemangat’ untuk meneruskan agenda digitalisasi dan perbankan digital namun masih belum ada cadangan jelas mengenai bagaimana bank harus melindungi keselamatan pekerja yang terjejas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.