30,000 jururawat mogok di New Zealand

WELLINGTON: Kira-kira 30,000 jururawat di New Zealand mengadakan mogok menuntut kenaikan gaji berikutan tambahan beban kerja akibat pandemik COVID-19.

Mereka meninggalkan tugas masing-masing untuk menyertai mogok itu susulan kegagalan rundingan antara kesatuan dengan kerajaan berhubung tuntutan kenaikan gaji dan persekitaran kerja yang lebih selamat.

Ribuan jururawat berarak di jalanan dengan memegang sepanduk manakala yang lain berkumpul di taman dan luar pekarangan hospital di seluruh negara itu.

Mogok diadakan selepas Persatuan Jururawat New Zealand (NZNO) menolak kenaikan gaji 1.4 peratus yang dicadangkan Lembaga Kesihatan Daerah pada awal minggu ini.

Menurut kerajaan, pihaknya tidak mampu menunaikan tuntutan 17 peratus kenaikan gaji yang diminta jururawat, namun berjanji akan terus mengadakan rundingan untuk mencari penyelesaian sewajarnya.

NZNO, dalam satu kenyataan, memaklumkan ramai jururawat mengadu tidak mendapat bayaran gaji setimpal dengan risiko akibat pandemik coronavirus dan mengalami keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa.

NZNO mendakwa, keadaan jururawat menjadi semakin teruk dengan penularan COVID-19 di negara itu kerana terpaksa bersabung nyawa saban hari berada di hospital.

“Kadar gaji semasa sememangnya gagal menarik orang ramai menceburi kerjaya ini atau terus mengekalkan jururawat sedia ada,” menurut persatuan itu.

Dilaporkan, semua pembedahan kecil dan janji temu pesakit luar terpaksa dibatalkan akibat mogok terbabit.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern, berdepan kritikan kerana gagal menangani isu ketidaksamaan walaupun ekonomi negara itu semakin pulih daripada pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Bergaji, Dr Julian Vyas, berkata jururawat mempunyai peranan yang amat penting dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Jika mereka mogok, maka sudah pastinya terdapat masalah besar yang harus ditangani dengan segera,” katanya kepada portal berita Newshub. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.