3,300 anggota ATM diatur gerak bantu PDRM

[email protected]

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus komited dan mempertingkatkan kesiagaannya bagi membantu negara dalam melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau Sekatan Pergerakan Penuh Fasa Pertama di seluruh negara.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, komitmen dan peningkatan kesiagaan ini meliputi aspek aturgerak anggota dan aset melalui pelaksanaan Op Penawar, Op Benteng dan bantuan perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan jangkitan wabak berkenaan di seluruh negara.

Menurutnya, seramai 3,300 anggota ATM meliputi ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diaturgerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) / Pos Statik dan Rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara menerusi Op Penawar.

“Seramai 1,164 anggota juga sebagai kumpulan sokongan bagi aspek lain penugasan yang menyokong kepada pengurusan dan pelaksanaan Op Penawar ini, turut diaturgerakkan bagi menjayakan fasa pertama ini.

“ATM sebagai agensi peneraju di dalam National Task Force (NTF) bersama PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi penguatkuasaan yang lain akan terus bekerjasama dalam memperkasakan kawalan persempadanan negara bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata, seramai 12,285 anggota diaturgerak bagi mengekang kemasukan Pati daripada membolosi sempadan negara terutama melalui lorong tikus.

“ATM juga melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) terus komited bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberi tumpuan kepada bantuan pengoperasian Hospital dan Unit Rawatan Rapi Medan (ICU) ATM.

“Di samping, mengaturgerakkan anggotanya di dalam penugasan Op Penawar, TUDM juga terus komited melaksanakan penerbangan membawa peralatan dan barangan perubatan menggunakan pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Subang terutama ke Wilayah Sarawak dan Wilayah Sabah berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, ATM turut diberi kepercayaan penuh dalam membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Bagi menjayakan program berkenaan, ATM merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin bagi memastikan keseluruhan program imunisasi yang dirangka kerajaan melalui KKM dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) dapat dilaksanakan dengan teratur, mencapai matlamat serta mengurangkan sebarang pembaziran penggunaan vaksin berkenaan.

“ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi sepenuhnya penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.