335 karton minuman keras disyaki tidak bercukai dirampas

[email protected]

KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu merampas 335 karton minuman keras pelbagai jenis disyaki tidak bercukai, dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini, Selasa lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi di kawasan Sungai Aur, Pelabuhan Klang, dan Klang Jaya itu, empat lelaki tempatan berumur 21 hingga 28 tahun, turut diberkas.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata minuman keras yang dirampas meliputi jenis Brona membabitkan 207 karton, Lambo (13) dan Ginsberg (115) yang dianggarkan bernilai RM30,276 dengan cukai sebanyak RM129,360.

“Pasukan turut merampas tiga kenderaan, iaitu sebuah lori, van Toyota Hiace serta kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.

“Jumlah keseluruhan rampasan kenderaan dan minuman keras dianggarkan bernilai RM394,636,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosman berkata, terdahulu sepasukan tujuh pegawai dan anggota PPM Wilayah Satu melakukan pengintipan serta pemantauan melalui Op Kontraband di kawasan Sungai Air bersebelahan sebuah restoran makanan laut.

Beliau berkata, pasukan kemudian mengesan dua kenderaan jenis Toyota Estima dan Toyota Hiace yang berada dalam keadaan mencurigakan, keluar dari sebuah kawasan berpagar.

Susulan itu, katanya, pegawai operasi mengarahkan anggota untuk mengejar dua kenderaan terbabit.

“Pada masa sama, pegawai terbabit masuk ke kawasan berpagar itu dan melakukan pemeriksaan, termasuk ke atas sebuah lori.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahagian pintu lori di bahagian pemandu terbuka dengan kunci lori di situ, namun pemandunya tiada. Pencarian dilakukan di kawasan itu tetapi pemandunya gagal ditemui.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu mendapati ada pelbagai jenis minuman keras dalam ruang simpanan barang kenderaan terbabit, yang disyaki tidak bercukai kerana tiada pelekat hologram Jabatan Kastam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Toyota Estima dan Toyota Hiace yang dikejar berjaya ditahan bersama pemandu serta pembantu di dua lokasi berbeza.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua kenderaan itu juga sarat dengan muatan minuman keras disyaki tidak bercukai.

“Pasukan kemudian mengiringi ketiga-tiga kenderaan itu bersama suspek dan minuman keras yang dirampas, ke Markas Operasi PPM di Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.