4 militan Abu Sayyaf dibunuh tentera Filipina

MANILA: Sekurang-kurangnya empat militan Abu Sayyaf maut dalam pertempuran dengan tentera Filipina di wilayah selatan negara itu semalam.

Pertembungan berlaku ketika pasukan tentera dan polis mahu memberkas pemimpin kumpulan pemisah itu, yang didakwa paling kejam, dikenali sebagai Injam Yadah, di rumahnya di perkampungan Alat di bandar Jolo, wilayah Sulu.

Menurut laporan tentera dari Pusat Pentadbiran Mindanao Barat (Wesmincom), tiga lagi militan yang ditembak mati ialah pembuat bom, Al-Al Sawadjaan, disyaki adik kepada pembuat bom, Mundi Sawadjaan.

“Seorang lagi mangsa lelaki hanya dikenali sebagai ‘Rauf’ manakala militan ketiga yang maut belum dapat dikenal pasti.

“Semua anggota tentera dan polis di Sulu kini menggandakan usaha untuk menahan Mundi Sawadjaan dan kami yakin dia dapat ditahan,” katanya.

Jurucakap tentera, Leftenan Jeneral, Corleto Vinluan Jr, berkata Yadah bersama anggotanya menyerang pasukan keselamatan, yang terpaksa membalas tembakan.

“Difahamkan, Yadah melakukan penculikan untuk tebusan membabitkan rakyat tempatan dan warga asing termasuk lapan nelayan Indonesia yang diculik di luar perairan Malaysia pada awal 2020.

Komander tentera, Mejar Jeneral, William Gonzales, berkata Yadah dianggap sangat ganas dan kerap memenggal kepala orang awam tidak berdosa serta anggota keselamatan tanpa perikemanusiaan.

“Dia juga dikaitkan dengan penculikan empat individu termasuk dua pelancong warga Kanada pada 2015, yang dipenggal secara berasingan selepas wang tebusan yang diminta gagal dibayar.

“Dalam serbuan itu, tentera turut merampas pelbagai senjata api termasuk, sebuah M653 karbin, pistol .45 kaliber, komponen membuat bom dan 15 telefon bimbit selain menahan isteri Yadah bersama tiga anaknya.

“Setakat ini, 121 militan Abu Sayyaf terbunuh, ditahan atau menyerah diri kepada pasukan keselamatan di Sulu termasuk 18 dibunuh, 17 lagi dan 86 yang lain menyerah diri,” katanya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.