42 lembu ternakan dari Thailand positif LSD

[email protected]

Alor Setar: Sebanyak 42 lembu ternakan diimport dari Thailand yang sedang dikuarantin oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dikesan menghidap penyakit ‘Lumpy Skin Disease’ (LSD).

Pengarah Maqis Kedah Lily Rosalind Paul berkata, jumlah itu antara 1,434 lembu diimport dari Thailand pada 26 April lalu, yang menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

“Ketika tempoh kuarantin, beberapa sampel diambil daripada lembu itu dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV).

“Hasil ujian makmal serta tanda klinikal mendapati, 42 lembu positif penyakit LSD iaitu sejenis penyakit berjangkit yang menjangkiti lembu, kerbau dan haiwan ruminan liar tertentu,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Lily berkata, setakat ini, ada dua premis kuarantin di Kedah dan Kelantan yang menempatkan ternakan lembu diimport dari Thailand yang menunjukkan tanda klinikal penyakit LSD.

Berikutan itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) meminta pihaknya memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 kepada 28 hari untuk memantau lebih rapi ternakan import berkenaan.

“Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit yang dikhuatiri jika tidak dikawal, boleh menyebabkan industri ternakan ruminan negara terjejas,” katanya.

Menurut beliau, punca penyakit LSD disebabkan virus ‘Poxviridae’ yang disebar melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat.

“Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019. Antara negara yang terkesan adalah Bangladesh, India, China dan yang terbaharu, Thailand,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.