50 peratus bahagian ikan Pasar Borong KL akan beroperasi semula

[email protected]

KUALA LUMPUR: Hanya 50 peratus bahagian ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, dijangka memulakan semula operasi bermula tengah malam ini, selepas 312 daripada 800 peniaga ikan di pasar itu disahkan dijangkiti COVID-19.

Pengerusi Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur, Sing Kian Hock, berkata sebagai persediaan beroperasi semula, hanya pemborong dan pekerja yang didapati negatif melalui saringan COVID-19 akan dibenarkan memasuki premis Pasar Borong Kuala Lumpur, bermula tengah malam ini.

Beliau berkata, selain 312 pemborong dan kakitangan bahagian ikan, turut didapati positif ialah 20 pemunggah ikan dan tujuh pekerja bilik sejuk.

“Disebabkan perkembangan semasa, syarat untuk pemborong dan kakitangan memasuki Pasar Borong Kuala Lumpur diperketatkan dan hanya yang sudah membuat calitan COVID-19 dan didapati negatif boleh memasuki premis.

“Ketika ini masih ramai sedang menjalani kuarantin, malah ada juga yang baru mendapat simptom beberapa hari lalu. Justeru, kami jangkakan hanya 80 daripada 168 gerai ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur, akan beroperasi mulai tengah malam ini.

“Bagaimanapun kami tidak mempunyai maklumat mengenai pekerja bahagian sayur dan buah-buahan di pasar ini yang didapati positif COVID-19,” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan untuk menutup operasi bahagian ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur selama lapan hari hingga semalam.

Penutupan itu berikutan permintaan persatuan peniaga di pasar terbabit dan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan kes positif COVID-19 membabitkan operator dan pekerja bahagian ikan di pasar itu.

Pasar Borong Kuala Lumpur mempunyai 448 gerai membabitkan bahagian jualan ikan, sayuran dan buah-buahan yang dikendalikan lebih 4,000 pekerja termasuk peniaga.

Selain 168 gerai ikan, 216 lagi terdiri daripada gerai sayuran manakala bakinya ialah gerai menjual buah-buahan.

Kian Hock berharap, pemborong serta pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur, akan mengamalkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk sentiasa mengenakan pelitup muka sepanjang berada di gerai.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tiada lagi kes COVID-19 dicatatkan di pasar berkenaan yang setakat ini sudah tiga kali ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan di negara ini, Mac tahun lalu.

Katanya, jumlah kerugian ditanggung 168 peniaga gerai ikan di Pasar Borong Kuala Lumpur mencecah RM135,000 setiap hari.

Justeru, katanya, langkah SOP yang ketat perlu diamalkan peniaga pada setiap masa bagi mengelak penularan COVID-19.

Kian Hock berharap, kerajaan dapat membantu peniaga di pasar borong terbesar negara itu dengan menyenaraikan mereka sebagai penerima vaksin COVID-19, disebabkan perlu berhadapan dengan orang awam setiap hari.

“Kami tidak mahu lagi menutup perniagaan bukan sahaja kerana enggan menanggung kerugian tetapi pada masa sama perlu memastikan pengguna tidak berdepan kekurangan bekalan makanan.

“Apabila kami tutup perniagaan, banyak pihak tidak mendapat bekalan ikan, sayur dan buah-buahan tetapi antara berniaga dan nyawa, tentulah kami mengutamakan nyawa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.