6 bazar Ramadan dibenar buka semula dengan SOP lebih ketat

[email protected]

GEORGETOWN: Sebanyak enam bazar Ramadan di negeri ini yang ditutup semalam akibat penularan COVID-19 akan dibenarkan beroperasi semula pada Rabu ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Semua enam bazar Ramadan itu dibenarkan beroperasi semula pada Rabu ini mengikut SOP ditetapkan dengan lebih ketat.

“Apabila diberi kebebasan, orang ramai perlu ada tanggungjawab iaitu mematuhi garis panduan ditetapkan supaya tidak ada lagi penutupan selepas ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), hari ini.

Semalam, sebanyak enam bazar Ramadan di negeri ini diberi notis penutupan sementara bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia membabitkan bazar Ramadan Taman Tun Sardon, pekarangan Masjid Daerah Barat Daya, Astaka Bukit Gedung dan Kampung Melayu di bahagian pulau, manakala di Seberang Perai pula membabitkan Jalan Tenggiri dan Taman Bertam Indah.

Sementara itu, Jagdeep berkata, pihaknya berharap ada keseimbangan antara sektor ekonomi dan kesihatan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula di negeri ini.

“Jika boleh biarlah ia dilakukan secara bersasar dan bukan keseluruhan Pulau Pinang, namun terpulang kepada kerajaan kerana mereka mempunyai maklumat lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.