6 penunjuk perasaan maut di Myanmar

YANGON: Pasukan pertahanan antijunta terdiri daripada orang awam memaklumkan enam penunjuk perasaan maut akibat pertempuran beberapa hari di Myanmar, walaupun Britain dan Amerika Syarikat (AS) mengutuk keganasan tentera terhadap masyarakat.

Negara itu kacau bilau sejak tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, 1 Februari lalu, mencetuskan pemberontakan besar-besaran dengan pihak berkuasa kini berusaha meleraikannya.

Sebahagian daripada gerakan antijunta menubuhkan militan setempat bersenjata buatan sendiri bagi melindungi bandar mereka daripada pasukan keselamatan yang didakwa membunuh sekurang-kurangnya 790 orang awam, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Bandar Mindat di barat Chin, muncul sebagai pusat rusuhan dengan beberapa penduduk menubuhkan Chinland Defense Force (CDF).

CDF dalam kenyataan hari ini berkata, enam ahlinya terkorban ketika menyerang pasukan junta bagi revolusi nasional dalam usaha melindungi keselamatan penduduk di Mindat.

Jurucakap turut memberitahu AFP, lebih 10 orang cedera minggu ini, manakala lima penduduk Mindat ditahan tentera.

Perincian pertempuran lambat dikeluarkan, ekoran data mudah alih disekat di seluruh negara, selain pengesahan di lapangan semakin sukar kerana penduduk tempatan takut terhadap serangan balas.

Jurucakap yang enggan identitinya didedahkan berkata, pejuang CDF memusnahkan dan membakar beberapa trak tentera serta menyerang pasukan bantuan, manakala tentera menyerang kota itu dengan artileri.

Bagaimanapun, katanya, CDF hari ini berundur ke dalam hutan, selain penduduk Mindat yang berada di bawah undang-undang tentera sejak Khamis lalu, takut untuk meninggalkan rumah kerana bimbang menjadi sasaran tentera.

“Kami tidak akan tinggal lagi di bandar, tetapi akan kembali menyerang tidak lama lagi. Kami hanya memiliki senjata buatan sendiri. Ini tidak mencukupi,” katanya.

Kedutaan AS dan United Kingdom di Myanmar semalam, membunyikan penggera susulan rusuhan di Mindat, meminta pasukan keselamatan menghentikan keganasan.

Akhbar milik kerajaan New Light of Myanmar hari ini melaporkan, tribunal tentera akan diadakan bagi mengadili ‘pelaku serangan ganas’ di Mindat.

Akhbar itu melaporkan, pasukan keselamatan melepaskan banyak serangan menyebabkan satu kematian, manakala ‘1,000 penunjuk perasaan’ membunuh beberapa askar yang tidak dinyatakan jumlahnya, dalam serbuan, Jumaat lalu.

Penunjuk perasaan antikudeta di seluruh negara terus menuntut demokrasi dengan orang ramai di utara Hpakant memegang sepanduk dengan slogan ‘Kekal kuat, Mindat’.  – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.