6 produk Gardenia naik harga, tak termasuk roti putih

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd berkata ini kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan.

PETALING JAYA: Harga enam produk Gardenia akan dinaikkan mulai 1 Jun, namun ia tidak melibatkan produk roti putih.

Syarikat pengeluarnya, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL), mengesahkan dalam kenyataan hari ini bahawa produk-produk terbabit adalah Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 200g, Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread 375g, Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 200g.

Produk-produk Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread 375g, Gardenia Auntie Rosie – Original Homestyle Kaya 200g dan Gardenia Auntie Rosie – Natural Pandan Kaya 200g turut mengalami perubahan harga, lapor Bernama.

Menurut pengurusan syarikat itu, sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan.

“Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain.

“Selama ini GBKL menyerap kos kenaikan tersebut dan kini GBKL tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dan membeli secara panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya.

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan berlaku serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau “total lockdown” sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.