7 pekerja kilang dikompaun tidak daftar masuk premis

[email protected]

Johor Bahru: Tujuh pekerja dari dua kilang di Seri Alam, Pasir Gudang, di sini, dikompaun RM1,000 setiap seorang selepas gagal mengimbas kod MySejahtera, ketika memasuki premis berkenaan untuk memulakan kerja, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan operasi bersepadu mengejut yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pagi tadi.

Katanya, kompaun terbabit diberikan mengikut Peraturan 16(e) iaitu individu gagal menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon sebelum memasuki premis.

“Pada pagi ini satu operasi bersepadu mengejut yang turut disertai Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) diadakan bagi memastikan prosedur operasi standard ( SOP) PKP 3.0 dipatuhi premis perindustrian.

“Operasi secara besar-besaran ini meninjau 10 premis perindustrian sekitar Seri Alam dan Iskandar Puteri dan hasilnya tujuh pekerja kilang telah dikenakan kompaun kerana didapati gagal mengimbas kod MySejahtera atau menulis maklumat peribadi mereka, ketika semakan dibuat terhadap semua pekerja di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, polis turut menerima laporan berhubung tindakan seorang pegawai atasan warga asing di sebuah kilang di Seri Alam, yang tidak mahu memberikan kerjasama dalam pematuhan kehadiran 60 peratus pekerja ketika PKP 3.0 dikuatkuasakan.

Katanya, amaran sudah diberikan kepada pegawai atasan kilang terbabit supaya mematuhi ketetapan kerajaan.

“Polis menerima laporan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung keengganan pegawai atasan terbabit mematuhi had jumlah pekerja yang ditetapkan.

“Saya sudah jumpa pegawai atasan terbabit dan memberikan amaran. Tak kira dari mana pun, warga apa pun, perlu ikut peraturan di negara ini.

“Saya difahamkan orang tempatan tiada masalah ikut arahan, cuma yang ‘keras’ sikit warga asing, kalau ‘keras’ kita akan lembutkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.