75 kilang dikompaun, 59 diarah tutup kerana langgar SOP ketika ‘lockdown’

Sejak 1 hingga 9 Jun lalu pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 268 kilang bagi memastikan tiada pelanggaran SOP. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebanyak 59 kilang diarah tutup kerana pelanggaran SOP, sejak perintah kawalan pergerakan penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata 75 lagi kilang dikenakan kompaun, dalam pemeriksaan ke atas 268 kilang.

“Sejak 1 Jun hingga 9 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup,” katanya ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP.

Langkah itu selaras amaran kerajaan akan meningkatkan pemantauan sepanjang PKP berkuatkuasa, dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak didapati melanggar SOP membendung penularan Covid-19.

“Kerajaan telah menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ketika ini,” katanya.

Ismail turut memaklumkan, selepas mengambil kira situasi terkini Covid-19 ketika ini, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan bermula 10 hingga 30 Jun 2021.

Dalam pada itu, kerajaan akan mengetatkan PKP di beberapa lokaliti di Pahang, Johor, Sabah, Sarawak, dan Terengganu.

Ismail berkata, pelaksanaan PKPD selama 14 hari bermula 12 hingga 25 Jun itu susulan peningkatan jangkitan Covid-19.

Di Pahang, ia membabitkan tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, dan Taman Temerloh Makmur.

Di Johor, di Ladang Tereh Mill, Kluang selepas 24 individu dikesan positif.

Di Sabah pula Lorong Pasir Putih 1 di Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan selepas 16 telah dikesan positif.

Di Sarawak, PKPD di Kampung Kolong 2, Kuching.

Manakala di Terengganu, PKPD melibatkan Kampung Tajin di Kuala Berang, Hulu Terengganu di mana 31 disahkan positif.

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu; Mukim Sitiawan, Manjung; Kampung Mook, Kinarut, Papar; Kampung Baru Durok, Keningau; dan Kampung Sungai Langgas, Kunak bermula esok.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan semalam polis menahan 907 individu atas kesalahan ingkar SOP membabitkan pelbagai kesalahan, dan daripada jumlah itu, seramai 877 individu dikompaun, 28 direman manakala dua lagi dijamin.

Manakala menerusi Operasi Benteng, pihak berkuasa merampas dua kenderaan darat dan satu bot.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.