Agong ajak rakyat elak perbalahan, tidak lupa kerukunan hidup

[email protected]

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengajak rakyat supaya tidak melupakan kerukunan hidup bermasyarakat dengan mengelak tutur kata yang menanam benih perbalahan sesama sendiri.

Seri Paduka turut mengajak seluruh umat Islam bersyukur kerana masih dapat menunaikan ibadah pada Ramadan dan dikurniakan pula kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menyedari rakyat terpaksa akur kepada pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan yang melanda.

“Sedarlah pelaksanaan norma baharu ini adalah untuk kebaikan dan masa depan kita bersama. Ia menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran dari seluruh rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka menerusi perutusan sempena Aidilfitri yang akan disambut esok.

Sambutan Aidilfitri tahun ini sekali lagi diraikan rakyat negara ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam sehingga 6 Jun ini.

Pelaksanaan PKP dibuat ketika Malaysia berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan satu krisis nasional.

Gelombang ketiga ini memerlukan tindakan lebih drastik kerana kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan anggota masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan juga, baginda menyeru supaya pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama yang bersama memerangi pandemik COVID-19 dihargai.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas perkhidmatan kesihatan dan semua agensi kerajaan yang diamanah menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskan melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan.

“Insya-Allah berkat kesatuan seluruh rakyat Malaysia, beta yakin negara akan berupaya untuk membendung penularan pandemik COVID-19,” titah baginda.

Baginda bertitah saban tahun Aidilfitri disambut dengan kegembiraan merentasi agama dan bangsa, manakala anak rantau akan pulang ke kampung halaman untuk ziarah menziarahi disamping menikmati juadah tradisi.

“Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, Allah Subhanahu Wata’ala menentukan segala-galanya.

“Dalam ikhtiar memerangi pandemik COVID-19, Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana berbeza dari kelazimannya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendoakan agar rakyat dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi daripada musibah dan bencana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.