Ahli Lembaga Pengarah ProtectHealth tidak terima gaji, elaun – KKM

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Lembaga Pengarah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) tidak menerima sebarang gaji atau elaun bulanan lembaga pengarah.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan ProtectHealth, yang ditubuhkan pada 19 Dis 2016 di bawah kementerian itu, adalah syarikat tidak berasaskan keuntungan serta berperanan menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif berkaitan pembiayaan perkhidmatan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh kerajaan.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ProtectHealth mempunyai lima Ahli Lembaga Pengarah, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah sebagai wakil kementerian itu.

Selain itu, Datin Rosni Mohd Yusoff sebagai wakil Kementerian Kewangan serta Johari Abdul Muid dan Nurhisham Hussein daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Penjawat awam dibenarkan untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat di bawah kerajaan termasuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

“Ini jelas dinyatakan bawah Pekeliling Perkhidmatan 3 tahun 1985 bertajuk Garis Panduan Mengenai Pelantikan dan Peranan Pegawai Kerajaan sebagai Pengerusi, Ketua Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Awam, Syarikat-Syarikat Kerajaan dan Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan,” katanya.

Menurut KKM, ProtectHealth ditubuhkan melalui mandat jemaah menteri sebagai Pembeli Strategik untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan negara sambil memastikan kos penjagaan kesihatan yang munasabah.

Katanya, tadbir urus entiti itu dipantau oleh Jawatankuasa Governans, Pemantauan dan Penilaian (GMEC) yang ahlinya terdiri daripada wakil Jabatan Akauntan Negara, penasihat undang-undang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pejabat Menteri Kesihatan serta ahli akademik.

Kenyataan itu memaklumkan ProtectHealth beroperasi menjalankan inisiatif serta program berkaitan penjagaan kesihatan sebagai penghubung dan pemudah cara dalam kerjasama awam-swasta selain berperanan membantu mengoptimumkan sumber sedia ada di samping meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kesihatan.

“Pada 15 April 2019, selaras mandat penubuhan ProtectHealth sebagai Pembeli Strategik, organisasi ini melaksanakan tugasan sebagai pentadbir Skim Peduli Kesihatan Kumpulan B40 (PeKa B40).

“Bermula 12 November tahun lalu, ProtectHealth dilantik sebagai pengendali Pembekal Perkhidmatan Elektronik (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing berdasarkan pengalaman dan kemampuan sebagai Pembeli Strategik KKM,” katanya.

KKM menyatakan pada 19 Februari lalu, ProtectHealth dilantik oleh kerajaan sebagai pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Fasa 2 dan 3 untuk membantu kerajaan melaksanakan program itu dengan lebih berkesan.– BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.