Aidil luah rasa terkilan

[email protected]

Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mengakui rasa terkilan apabila impiannya untuk melihat KDA FC beraksi di negeri kelahirannya Singapura pada kejohanan Piala AFC musim ini tidak kesampaian.

Ini susulan penarikan diri Singapura menjadi hos kejohanan berkenaan yang sepatutnya berlangsung membabitkan pasukan KDA FC di Singapura pada 29 Jun hingga 5 Julai depan terpaksa dilupakan atas faktor kebimbangan wabak Covid-19 yang masih berleluasa di negara berkenaan.

Bagi jurulatih berusia 43 tahun ini, melihat skuad kendaliannya beraksi di kejohanan Piala AFC di Singapura ini memang sudah dinantikan sejak awal tahun ini dengan penuh semangat.

“Memang rasa sedih kerana kejohanan Piala AFC tidak dapat berlangsung di Singapura selepas di saat akhir Singapura menarik diri sebagai hos dan ini memberi sedikit kekecewaan kepada diri saya.

“Tambahan pula ini peluang pertama saya bersama skuad Kedah yang akan beraksi di negara kelahiran saya Singapura iaitu di pentas Piala AFC yang sudah saya nantikan selama ini.

“Namun saya tetap akur dengan keadaan ditakdirkan, dan keutamaan kesihatan menjadi lebih penting dalam sesuatu perancangan yang ditetapkan.” katanya.

Di sebalik ketiadaan aksi Piala AFC yang akan berlangsung di Singapura, Aidil turut terkesan apabila hasrat untuk melepaskan rindu bertemu keluarganya di Singapura juga tidak kesampaian.

Pengendali kelahiran Singapura itu juga berkata peluangnya untuk bertemu keluarga yang sudah dirancang sebelum ini dan lama terpisah sejak 2020 lalu memberi sedikit sebanyak kesan buat dirinya.

“Berada berjauhan dengan anda semua sejak Disember 2020. Saya berharap tahap Covid-19 berkurangan dari situasi semasa dan agar saya dapat pulang dan tidak perlu menjalani kuarantin yang lama.

“Peluang berjumpa dengan ahli keluarga memang sudah saya idamkan selama ini, namun saya tetap akur dengan keadaan yang ditakdirkan.

“InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar, dan saya juga berharap dapat berjumpa kembali ahli keluarga tersayang di Singapura selepas Liga Malaysia tamat musim ini.” katanya.

Skuad KDA FC kini sedang menanti pengumuman tarikh dan ‘venue’ yang akan ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas Singapura menarik diri dari menjadi hos yang sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 29 Jun hingga 5 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.