AirAsia bakal lancar khidmat e-hailing

[email protected]

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd menerusi super app miliknya akan meneroka perkhidmatan e-hailing, sekali gus menuju ke arah melengkapkan ekosistem perniagaan bukan penerbangan bersepadu di Malaysia.

Rancangan penyertaan airasia super app dalam perkhidmatan e-hailing dilihat tepat pada masanya bagi meningkatkan akses pengguna kepada perkhidmatan sedemikian yang melonjak sejak sebelum COVID-19 melanda negara.

Berdasarkan komitmen yang diberikan menerusi 15 produk yang terdapat di bawah super app dengan tawaran harga dan komisen lebih rendah kepada pengguna serta peniaga, AirAsia melalui e-hailing mampu menawarkan tambang lebih kompetitif yang memberi manfaat kepada pelanggan.

Ketua e-dagang bagi airasia super app, Lim Ben-Jie, berkata struktur perkhidmatan e-hailing yang bakal diterokai oleh AirAsia sedang diperkemaskan sebelum dilancarkan tidak lama lagi.

“AirAsia memiliki ekosistem lengkap yang membolehkan kami memperkenalkan pelbagai perkhidmatan tambah nilai kepada pengguna. Ya, kami akan memperkenalkan perkhidmatan e-hailing tidak lama lagi.

“Struktur perkhidmatan (e-hailing) akan diumumkan pihak pengurusan tertinggi AirAsia kelak. Apa yang pasti, perkhidmatan terbaru dalam pengangkutan darat ini akan menjadi pendorong bagi melengkapkan super app,” katanya kepada BH.

Mac lalu, media melaporkan wujudnya spekulasi mengenai rancangan AirAsia untuk memasuki perniagaan perkhidmatan e-hailing.

Pengasas Bersama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes turut mengesahkan rancangan itu selepas AirAsia meneroka perniagaan perkhidmatan penghantaran makanan.

Super app AirAsia semakin lengkap dengan 15 produk merangkumi tiga segmen iaitu kembara dan gaya hidup, e-dagang serta teknologi kewangan (fintech).

Bagi segmen kembara dan gaya hidup, aplikasi itu menawarkan produk penerbangan, hotel, SNAP, kesihatan, Ikhlas, BIG Rewards, WiFi, Explore dan Unlimited.

Untuk segmen e-dagang merangkumi Airasia food, Airasia fresh, Airasia beauty dan Airasia shop, manakala fintech pula membabitkan Airasia money serta BigPay.

Ben-Jie berkata, segmen e-dagang super app AirAsia merancang untuk memperkemaskan kedudukannya tidak hanya tertumpu di bandar utama dan kecil di Malaysia, malah akan terus meneroka pasaran Thailand, Indonesia dan Filipina

“Segmen e-dagang AirAsia terus berkembang bermula dengan Airasia food pada Mei 2020, sebelum Airasia fresh pada September dan Airasia beauty baru-baru ini.

“Dengan ekosistem lengkap dimiliki kumpulan, ia akan membuka ruang kepada e-dagang AirAsia berkembang pesat selaras dengan penawaran kami pada harga yang sangat kompetitif bagi semua produk serta perkhidmatan.

“Saya melihat potensi e-dagang AirAsia memiliki kemampuan berkembang sekurang-kurangnya sekurang-kurangnya 50 peratus dari bulan ke bulan dalam seluruh rangkaian produk tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai Airasia fresh, beliau menjelaskan, perkhidmatan penghantaran runcit dan bahan basah milik kumpulan dilihat memiliki potensi besar untuk berkembang kukuh susulan pasaran sedia ada kebanyakannya masih mengekalkan kaedah konvensional iaitu berkunjung ke premis atau pasar.

Katanya, AirAsia akan dibuka di Kota Kinabalu, Sabah tidak lama lagi sebelum meneroka pasaran Singapura pada Julai ini.

“Generasi ketika ini lebih gemar membeli barangan runcit dan basah menerusi pesanan dalam talian. Ia membuka ruang dan potensi besar untuk Airasia fresh berkembang dengan positif dengan peluang pasaran yang luas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.