Aktiviti pusat hiburan cetus kluster jangkiti 6 lokaliti

[email protected]

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu COVID-19 berkaitan komuniti yang dilaporkan menjangkiti penduduk di enam lokaliti dalam daerah Kuala Penyu, semalam, tercetus berikutan aktiviti sosial di pusat hiburan.

Kluster Kampung Bundu dikesan telah menjangkiti penduduk di Kampung Bundu Batu Empat, Kampung Bundu Batu Tiga, Kampung Tenambak, Kampung Sungai Labuan, Pekan Kuala Penyu dan Kampung Kitang.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster berkenaan merekodkan 39 kes positif, setakat ini, termasuk kes indeks membabitkan seorang lelaki berumur 45 tahun.

“Kes indeks dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala dan kontak kepada anaknya yang turut menjalani saringan bergejala. Bagaimanapun, kes indeks bergejala lebih awal berbanding anaknya.

“Hasil ujian saringan RTK-Ag kes indeks disahkan positif pada 24 Mei, disusuli saringan RT-PCR yang juga menunjukkan keputusan positif, 26 Mei lalu.

“Pengesanan kontak mendapati 38 kes lagi positif COVID-19 dalam kalangan rakan sosial dan ahli keluarga. Setakat ini, jumlah kumulatifnya ialah 39 kes, termasuk dua jangkitan baharu.

“Berdasarkan maklumat awal, penularan kluster ini disumbang oleh aktiviti sosial di pusat hiburan yang kemudian menjangkiti ahli keluarga. Aktiviti kawalan dan mengenal pasti punca jangkitan masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, seorang warga Filipina berumur 44 tahun menjadi kes indeks satu lagi kluster baharu COVID-19 berkaitan komuniti, Kluster Tanjung Aru Baru yang dilaporkan di Kota Kinabalu, semalam.

Masidi berkata, individu terbabit dikesan positif melalui saringan bergejala di Klinik Kesihatan Putatan pada 25 Mei lalu sebelum dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk rawatan lanjut.

“Hingga kini, sebanyak 213 sampel telah diambil dalam kluster berkenaan dengan 30 disahkan positif, termasuk 20 kes baharu pada hari ini (semalam), manakala 83 lagi negatif dan 100 sedang menunggu keputusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.