Aman Palestin agih bantuan kecemasan RM4.94 juta

[email protected]

Kuala Lumpur: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengagihkan bantuan kecemasan awal RM4,945,600 hasil kempen Bantuan Kecemasan Al-Aqsa yang dilancarkan Mei lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Sufian Awang Piut berkata, bantuan awal itu terdiri daripada pek makanan, kit kebersihan, kewangan, sewaan rumah sementara, baik pulih rumah, ambulans, ubat-ubatan dan penyediaan Unit Kecemasan Hospital Al-Razi.

“Alhamdulillah, dengan kewujudan cawangan Aman Palestin di Gaza, bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dapat diurus dan diagihkan pada masa yang tepat dan mengikut keperluan semasa masyarakat Gaza dan Tebing Barat.

“Justeru, saya menyeru rakyat Malaysia supaya terus prihatin membela nasib rakyat Palestin agar mereka dapat bangkit berjuang mewakili kita semua mempertahankan Tanah Wakaf Umat Islam dan Masjid Al-Aqsa,” katanya pada sidang media menerusi Facebook Aman Palestin di sini, hari ini.

Menurutnya, selain agihan sumbangan yang berterusan, pihaknya dalam perancangan melaksanakan projek pembinaan Hospital Aman Palestin iaitu hospital pakar psikiatri yang pertama di Gaza.

Katanya, usaha pembangunan infrastruktur dan pembinaan kompleks ini akan memakan masa satu hingga tiga tahun dan akan dibuat secara berperingkat dengan kerjasama serta sokongan penuh Kementerian Kerjaraya Palestin, Kementerian Kesihatan Palestin, United Nations Development Programme (UNDP) selain United Nations Relief and Works Agency (UNRWA).

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada bantuan itu sampai kepada rakyat Palestin, Ketua Pegawai Operasi Aman Palestin Gaza Ir Omar Seyam berkata, ianya berjalan lancar.

Katanya, pihaknya tidak berdepan sebarang kekangan sekatan dalam proses pengagihan sumbangan sama ada daripada segi bantuan makanan, penyediaan ambulans mahupun bantuan perubatan dan infrastruktur.

“Perkara yang menjadi kekangan kini adalah usaha untuk membina semula kawasan dan perumahan yang musnah akibat serangan kerana kosnya begitu tinggi.

“Oleh itu, Aman Palestin Gaza amat berharap rakyat Malaysia terus menghulurkan bantuan dalam usaha membina semua Gaza terutama kediaman untuk mereka yang musnah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.