Ameng buat laporan polis

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ameng, 52, membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun Facebook (FB) yang mendakwa dia terbabit semula dalam kes penyalahgunaan bahan terlarang, melalui komen di media sosial itu.

Vokalis kumpulan Spring itu mendakwa, komen dilayangkan dua individu terbabit ketika dia membuat persembahan virtual melalui FB Artiste Voice Of Legend (AVOL), kelmarin, mengaibkan namanya dan menjejaskan pendapatan.

“Ketika membuat persembahan itu, ada komen negatif yang mendakwa saya masih menghisap dadah.

“Disebabkan itu, saya membuat laporan polis terhadap dua pemilik akaun FB kerana memfitnah dan cuba menjatuhkan nama baik saya dalam media sosial,” katanya kepada BH Online.

Ameng membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini, semalam.

Ameng berkata, susulan kejadian itu, Persatuan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) menghubunginya dan menyatakan hasrat untuk membantu.

“IRAMA meminta data dua individu terbabit. Bagi saya, kadang-kadang kita memang kena tegas dalam sesuatu perkara agar menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya.

Ameng atau nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, dua individu terbabit sudah meminta maaf kepadanya selepas dia memuat naik video mengenai laporan polis yang dibuat.

“Hari ini saya datang semula ke balai polis untuk mengambil salinan laporan. Saya dinasihatkan perkara ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Polis sarankan saya pergi ke SKMM agar mereka boleh sekat akaun media sosial dua individu terbabit.

“Namun, semalam, kedua-dua individu terbabit sudah meminta maaf dan seorang pengguna lain turut menghantar mesej di FB merayu agar saya tidak mengambil tindakan.

“Kadang-kadang kelompok ini sengaja membuatkan kita tertekan supaya terjebak semula. Tetapi saya memilih untuk diam dan hanya membaca mesej itu,” katanya.

Terdahulu, Ameng berkongsi kekesalannya atas dakwaan yang dilemparkan individu terbabit melalui entri di Instagram (IG).

Sejak 8 Jun lalu, Ameng aktif membuat persembahan di FB AVOL bagi menjana pendapatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.