‘Anda kebanggaan Malaysia’

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong, yang meraih pingat emas acara 10 meter (m) platform individu wanita pada kejohanan terjun Piala Dunia FINA 2021 di Jepun, semalam.

Perdana Menteri dalam ucapan dimuat naik melalui laman Facebook rasmi beliau berkata, keringat dan komitmen Pandelela memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah di persada dunia.

“Syabas! Anda kebanggaan Malaysia,” katanya.

Atlet berusia 28 tahun itu mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun, dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Terdahulu pada saingan separuh akhir, Pandelela menduduki tempat ketiga dengan 333.00 mata di belakang Caeli Mckay dari Kanada dengan 343.85 mata, manakala Andrea Spendolini Siriex dari Britain pula di tempat kedua dengan 336.00 mata.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos depan. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.