Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Anjur rumah terbuka Aidilfitri, lelaki dikompaun RM2,000

bhnews@bh.com.my

IPOH: Seorang lelaki dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri di daerah Tanjung Malim di sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata polis menerima aduan orang ramai terdapat rumah dihadiri ramai orang sebelum anggota membuat pemeriksaan pada jam 5.45 petang dan pekerja swasta berusia 31 tahun itu mengaku menganjurkan rumah terbuka.

“Apabila polis tiba untuk memeriksa aduan itu, pemilik rumah mengaku dia menganjurkan rumah terbuka kepada rakannya.

“Jadi, kita mengeluarkan kompaun RM2,000 kepada pemilik rumah terbabit atas kesalahan menganjurkan rumah terbuka,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh Utara Arah Selatan (Jelapang) di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, orang ramai dinasihatkan mematuhi SOP dengan tidak menganjurkan rumah terbuka dan kunjung-mengunjungi ketika pandemik sedang memuncak berikutan kadar jangkitan di Perak ini tinggi.

“Kita bukan kejam sangat hendak membuat pemeriksaan rumah ke rumah, tetapi jika ada aduan kita terpaksa ambil tindakan kerana kadar jangkitan di Perak terlampau tinggi,” katanya

Sementara itu, beliau berkata, polis Perak sudah mengeluarkan 116 kompaun dengan kadar pematuhan sebanyak 96 peratus sejak 12 Mei hingga semalam.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 8,807 permohonan rentas daerah dan negeri dibuat kepada balai polis di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah sebanyak 160 permohonan ditolak kerana permohonan dibuat atas dasar sosial iaitu untuk menziarahi orang tua, saudara-mara, kenduri dan sebagainya,” katanya.

Katanya, dalam tempoh sama, terdapat 185 kenderaan diarah berpatah balik di sekatan lebuh raya dan 146 kenderaan di sekatan jalan Persekutuan

“Ada juga yang menyalahgunakan permit alasan untuk balik berjumpa isteri atau suami bagi pasangan jarak jauh, tetapi apabila membuat pemeriksaan di sekatan jalan raya, pasangan suami isteri dalam kereta berkenaan dan mereka hendak balik ke kampung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Exit mobile version