Apa keperluan Sabah belanja RM15 juta beli 10,000 komputer riba, soal Rahman Dahlan

Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan langkah Sabah mahu memberi 10,000 komputer riba dengan kos RM15 juta.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan langkah Sabah mahu memberi 10,000 komputer riba dengan kos RM15 juta kepada pelajar di negeri itu sedangkan Putrajaya telah berjanji akan membekalkan 150,000 kemudahan itu untuk diagihkan.

Katanya, adalah lebih baik dana RM15 juta itu dibelanjakan bagi membantu peniaga kecil dan penduduk kampung yang terkesan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Persoalannya apakah keperluan kerajaan negeri membeli 10,000 komputer dengan kos RM15 juta sedangkan kerajaan pusat akan membekalkan 150,000 buah kepada pelajar di seluruh negara, termasuk di Sabah?” katanya dalam kenyataan.

Rahman berkata, Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin pada Ahad mengumumkan sebanyak 12,887 komputer telah pun diedarkan kepada pelajar di seluruh negara dan sejumlah 40,290 buah lagi akan diedarkan selewat-lewatnya 12 Jun ini.

Abdul Rahman Dahlan.

“Baki 96,823 buah komputer itu akan diedarkan pada September 2021. Takkan kerajaan negeri Sabah tidak boleh tunggu sebulan kerana komputer kerajaan pusat akan diagihkan pada September,” katanya.

Sebelum ini Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta bagi pemberian komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini.

Beliau berkata, bantuan menerusi Fasa 1 program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) itu akan dimulakan pada 19 Julai hingga 18 Oktober ini melibatkan pemberian 10,000 komputer riba.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.