Apa perancangan selepas PKP?

Dr Lee Boon Chye berpendapat kerajaan terlalu bergantung pada pelaksanaan PKP.

PETALING JAYA: Seorang bekas timbalan menteri dan seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan agar menyusun perancangan yang jelas untuk menangani situasi Covid-19 dalam jangka panjang.

Negara tidak mampu asyik menghadapi sekatan, kata mereka.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito, berkata sekatan membawa kesan buruk dari segi kewangan terhadap perniagaan, majikan, dan pekerja.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara mulai 12 Mei adalah yang ketiga sejak April 2020.

Dr Lee Boon Chye.

Kata Lee, kerajaan perlu mempercepatkan pelancaran vaksin dan mempertingkat langkah-langkah kesihatan awam, seperti pengesanan kontak dan pengujian besar-besaran.

“Jika kita dapat mengesan semua kontak rapat, letakkan mereka bawah kuarantin dalam tempoh 48 jam, dan jalankan ujian besar-besaran, kita akan dapat membendung penularan virus.

“Oleh itu, kita mesti beri lebih banyak sumber kepada Kementerian Kesihatan (KKM),” kata beliau kepada FMT.

Tambah beliau, sekiranya semua langkah tersebut dapat diambil di sesuatu kawasan, ekonomi juga dapat dibuka semula dalam tempoh dua minggu.

Beliau berkata, PKP “mahal” dan tidak efisien, dan beliau percaya kerajaan terlalu bergantung padanya.

“Kita perlu hala tuju yang jelas bagaimana untuk keluar dari situasi buruk ini. Tak cukup bagus hanya adakan PKP dan berharap kes akan menurun.

“Kita perlu langkah-langkah yang lebih proaktif,” tegas beliau.

Carmelo Ferlito.

Ferlito berkata, tiada strategi keluar yang jelas dapat dilihat ketika ini, selain mendakwa, pihak berkuasa mengambil ringan risiko lonjakan jangkitan selepas dua PKP sebelum ini.

“Kita perlu strategi perubatan untuk menghadapi kemungkinan kes melonjak, tanpa perlu sekali lagi melalui PKP yang memberi kesan buruk terhadap ekonomi, mata pencarian, dan kesihatan mental rakyat,” kata beliau.

Beliau tidak terkejut dengan laporan-laporan tentang hospital dan petugas barisan hadapan hampir berada di titik akhir, katanya.

“Persoalannya adalah sama ada kita sudah cukup meningkatkan kemampuan untuk merawat pesakit. Negara-negara lain sudah pun berbelanja untuk mendirikan hospital sementara,” kata beliau.

Jika timbul isu kewangan, Ferlito menyarankan kerajaan memperkenalkan cukai sementara bagi menampung kos langkah-langkah Covid-19.

“Ini dapat dilakukan secara telus dan tetap selama maksimum dua tahun dengan jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan menyeluruh lagi,” kata beliau.

“Saya percaya perniagaan tidak akan membantah cukai seperti itu jika mereka diberi jaminan dibenarkan beroperasi seperti biasa, semampu mungkin.”

Tambah beliau, kerajaan seharusnya membenarkan sektor swasta memperoleh vaksin dan mengurangkan kerenah birokrasi untuk menggalakkan pelaburan dalam fasiliti perubatan swasta bagi meningkatkan kemampuan rawatan.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.