AS bimbang kehadiran tentera China di Kemboja

BANGKOK: Amerika Syarikat (AS) menzahirkan ‘kebimbangan serius’ mengenai kehadiran tentera China dan pembinaan fasiliti di pangkalan tentera laut Kemboja ketika kunjungan Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman ke negara Asia Tenggara.

Wakil AS yang bertemu Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada semalam, ‘meminta penjelasan’ mengenai perobohan ‘tanpa notis’ dua bangunan yang dibiayai AS di Pangkalan Tentera Laut Ream, di mana kehadiran tentera China diperhatikan.

“Pangkalan tentera PRC (Republik Rakyat China) di Kemboja akan menghakis kedaulatannya, mengancam keselamatan serantau dan memberi impak negatif kepada hubungan AS-Kemboja,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, dan meminta Phnom Penh mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang, bagi kepentingan terbaik rakyat Kemboja.

Sherman yang turut bertemu dengan ahli politik dan aktivis yang menentang kerajaan Kemboja, meminta pihak berkuasa untuk menggugurkan semua tuduhan bermotif politik terhadap ahli pembangkang, wartawan dan aktivis yang mengkritik Hun Sen, yang sudah memimpin negara ini sejak 1985.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dasar luar Hun Sen semakin dipengaruhi Beijing, manakala Washington mengutuk pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan kerajaan, yang mana Mahkamah Agung pada 2017 membubarkan parti pembangkang utama dan menahan pemimpinnya.

Hubungan antara China dan AS merosot secara mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana isu seperti hak asasi manusia, perdagangan dan perluasan ketenteraan Beijing ke Laut China Selatan.

Pangkalan Tentera Laut Ream terletak di Teluk Thailand, lokasi strategik yang akan memperkukuh kekuatan China di perairan Asia Tenggara dan Timur, yang kedaulatannya turut dipertikaikan Vietnam, Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina dan Taiwan. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.