ASTAF tolak rayuan PSM, perbicaraan Khamis ini

[email protected]

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menolak permohonan lanjutan tempoh yang dikemukakan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sekali gus sesi perbicaraan dijadualkan pada Khamis ini secara maya, akan tetap dijalankan.

Dalam jawapan balas ASTAF kepada PSM hari ini selepas badan induk sepak takraw Malaysia itu mengemukakan surat permohonan lanjutan pada 12 Mei lalu, ia memutuskan untuk menolak permintaan berkenaan atas beberapa sebab.

“Perbicaraan akan berlangsung secara maya pada awal petang, tidak akan mengganggu garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga buka puasa. Selepas membuat pertimbangan kepada permintaan anda (Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh), kami tidak boleh menerima permohonan berkenaan.

“Kami juga ingin memaklumkan yang sesi perbicaraan sudah ditetapkan 20 Mei ini pada jam 1 tengahari (waktu Bangkok dan 2 petang waktu Malaysia) menerusi (aplikasi) Zoom akan tetap berlangsung seperti dijadualkan. Kami akan memaklumkan anda dan PSM mengenainya dalam tempoh terdekat,” kata Presiden ASTAF, Datuk Halim Kader dalam surat maklum balas itu.

Surat berkenaan turut mengulangi yang PSM digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan sepak takraw dan sesi pendengaran serta proses hukuman akan tetap dijalankan meskipun tiada wakil dihantar PSM pada Khamis ini.

“Kamu sedia maklum, di bawah Peraturan dan Prosedur Tatatertib Perlembagaan ASTAF, anda berhak dibicarakan dalam sesi perbicaraan tetapi kamu tidak mempunyai hak untuk membawa kehadiran peguam seperti mana termaktub dalam Undang-undang Kecil (Prosedur tatatertib),” katanya lagi.

PSM didakwa melanggar perjanjian dimeterai bersama ASTAF dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) pada 14 Mac 2008 apabila presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menggunakan kapasiti selaku timbalan presiden ASTAF menulis surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Perkara itu didakwa melanggar perjanjian dimeterai bersama iaitu untuk menyokong ISTAF dan ASTAF bagi menubuhkan dan mengekalkan pentadbiran persekutuan yang cekap.

Sebelum ini, Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat menerima tamparan hebat daripada ASTAF apabila dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun selepas panel perbicaraan menerima empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 Undang-undang ASTAF.

Ahmad yang turut dikenakan denda AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan yang berlangsung secara maya itu didakwa menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan ASTAF pada 1 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.