ATM sedia bina lebih banyak ICU Medan

Kepala Batas: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membina lebih banyak Unit Rawatan Rapi Medan (Field ICU) di Pulau Pinang jika diperlukan berikutan peningkatan pesakit Covid-19 sekarang ini.

Panglima Dua Divisyen Markas Divisyen Kedua Infrantri Kem Tun Razak, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, pihaknya bersedia termasuk dari segi kelengkapan dan peralatan bagi membina ICU Medan di hospital lain bagi memberi bantuan perubatan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan orang ramai.

“Ketika ini hanya satu ICU Medan yang dibangunkan oleh ATM dengan kerjasama KKM di Hospital Kepala Batas (HKB) dan ia adalah contoh terbaik kemungkinan pembinaan Field Medan lain di sini (Pulau Pinang) atau negeri lain yang memerlukan berikutan peningkatan kes Covid-19 sekarang ini.

“Dari segi kelengkapan dan peralatan, kita (ATM) telah bersiap sedia dan secara holistik, kami menunggu arahan daripada menteri pertahanan serta pihak panglima untuk membantu membina ICU Medan bagi mereka yang memerlukan, ATM juga bersedia membantu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di ICU Medan HKB di sini, hari ini.

Turut hadir Komander Field ICU HKB Leftenan Kolonel Dr. Mohd Zamri Derahman dan Penolong Pengarah (Perubatan) HKB Dr Hor Chee Peng.

Mengulas mengenai ICU Medan di HKB, Arman Rumaizi berkata, ICU berkenaan boleh menempatkan 27 katil bagi menampung bilangan pesakit Covid-19 kritikal yang memerlukan rawatan rapi akan mula beroperasi Isnin ini kerana beberapa isu teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Katanya, pembinaan ICU ini sudah siap sepenuhnya hari ini namun pihaknya bersama pasukan perubatan HKB akan menjalankan beberapa ujian bermula esok dan ‘dry run’ bagi menguji semua peralatan perubatan pada Ahad.

“Ahad ini final ‘dry run’ dan kami akan kaji semua aspek termasuk teknikal, perubatan, keperluan kemudahan dan paling penting prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di ICU yang perlu diperketat sebelum ia beroperasi sepenuhnya.

“Saya harap semuanya berjalan lancar dan ICU ini sebenarnya bukan hanya kerjasama antara ATM dan KKM sahaja sebaliknya membabitkan pelbagai agensi lain termasuk pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Kerja Raya… Ini semua adalah untuk membantu rakyat,” katanya.

ICU Medan dibina menggunakan konsep hibrid, dengan empat kontena ATM digunakan untuk menempatkan 12 katil dan 15 katil lagi ditempatkan di empat khemah yang didirikan di kawasan parkir dalam HKB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.