Azam optimis badi SPFC tak berjangkit ke Harimau

[email protected]

KUALA LUMPUR: Walaupun Sri Pahang FC (SPFC) dilihat bergelut dengan masalah prestasi tidak menentu pada musim ini, ia tidak bermakna ‘sentuhan’ pemain tengah, Nor Azam Azih akan turut ‘pudar’ ketika bersama skuad kebangsaan.

Menukar jersinya daripada ‘Tok Gajah’ kepada ‘Harimau Malaya’ bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, pemain berusia 26 tahun itu mahu menutup sebentar ‘bukunya’ bersama SPFC sekali gus fokus sepenuhnya untuk skuad kebangsaan.

“Saya rasa aksi bersama kelab dan skuad kebangsaan adalah berbeza. Saya akui prestasi saya pun tidak begitu menentu bersama SPFC, kadang kala ada turun naik tetapi buat masa ini, saya hanya fokus pada Harimau Malaya.

“Kalau diberikan kepercayaan oleh jurulatih, sudah pasti saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Dalam masa sama, perancang tengah skuad kebangsaan itu juga tidak kisah untuk membentuk gandingan dengan mana mana pemain dengan dia percaya semua pemain mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan apabila beraksi di atas padang.

Malah, dia juga percaya ketiadaan Brendan Gan yang digantung sekali gus terlepas aksi pertama menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga tidak begitu menjejaskan pasukan kerana pemain lain dapat menampung ‘kehilangan’ tonggak tengah itu.

“Saya rasa semua pemain tengah boleh menggantikan Brendan. Nazmi (Faiz) dan Syamer (Kutty Abba) pun boleh beraksi dengan baik kerana saya lihat mereka memberikan komitmen 100 peratus ketika sesi latihan.

“Kami pun sudah ada komunikasi yang baik antara satu sama lain. Jika ada peluang untuk bermain, saya tidak kisah untuk digandingkan dengan sesiapa pun.

“Kehadiran pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi juga membuatkan persaingan secara profesional menjadi lebih sihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.