Site icon Neotizen News

‘Azhar Idrus kebetulan di KL’, Siti Nurhaliza nafi majlis tahnik anak langgar SOP

Siti Nurhaliza berkata Ustaz Azhar Idrus kebetulan berada di Kuala Lumpur apabila bersetuju untuk hadir di majlis tahnik anak keduanya.

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza menafikan dakwaan majlis tahnik anak keduanya baru-baru ini melanggar SOP Covid-19.

Siti menjelaskan, dakwaan bahawa pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus merentas negeri tanpa kebenaran polis bagi menghadiri majlis itu pada 26 April lalu adalah tidak benar.

Menurut selebriti itu, Azhar kebetulan berada di Kuala Lumpur apabila bersetuju untuk hadir di majlis tahnik itu.

“Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku.

“Kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Siti turut menjelaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri bukan jemputan khas tetapi beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

Bagaimanapun, Siti berkata pihaknya memohon maaf dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

Dalam pada itu, polis Ampang Jaya akan membuka siasatan berhubung dakwaan majlis tahnik anak Siti melanggar SOP Covid-19.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan dijalankan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Tuan rumah acara telah dikenal pasti dan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Exit mobile version