Bakti Farm Holding sasar jualan ayam RM12 juta

PORT DICKSON: Syarikat penyembelihan dan pemprosesan ayam, Bakti Farm Holding Sdn Bhd menyasarkan jualan bernilai RM12 juta menjelang akhir 2021 meskipun negara sedang mengalami pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mahmudin Misbah, berkata pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berlandaskan nilai jualan ayam segar dalam bentuk seekor atau sukuan serta bahagian potongan ayam iaitu kepak, dada dan paha mencecah RM5 juta yang dicatatkan pada tahun lalu walaupun syarikat berusia ‘setahun jagung’.

“Kami melabur kira-kira RM5 juta bagi tujuan operasi kilang termasuk peralatan, mesin, latihan dan penyelidikan bagi mengeluarkan hasil yang terbaik dan bermutu untuk memenuhi kehendak pelanggan.

“Sebagai permulaan, kami menyasar untuk mengeluarkan 15,000 hingga 20,000 ayam sebulan pada tahun ini dan seterusnya meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak dua kali ganda,” katanya kepada Bernama selepas lawatan kerja Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ke syarikat itu di Lukut sini, pada Rabu.

Beliau berkata, selain untuk pasaran setempat sekitar Port Dickson, pihaknya juga membekalkan ayam di Putrajaya dan Lembah Klang susulan permintaan yang tinggi di samping berhasrat memperluas ke seluruh negara pada masa akan datang.

Syarikat itu mempunyai 35 orang kakitangan serta memegang sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Mohd Mahmudin mahu syarikat yang ditubuhkan pada 26 Januari 2020 itu menjadi pembekal ayam halal utama di Negeri Sembilan seterusnya mampu bersaing dengan syarikat pembekal ayam sedia ada.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.