Banduan pakai pelitup muka ketika tidur

Bangkok: Lebih 22,000 tahanan disahkan positif Covid-19 dan keadaan itu memaksa mereka mengenakan pelitup muka walaupun ketika tidur.

Pihak berkuasa merancang untuk membebaskan tahanan yang mempunyai masalah kesihatan dan mengumumkan dana bagi menjalankan lebih banyak ujian dan penjagaan kesihatan.

Namun, tahanan ini tidak dimaklumkan betapa serius keadaan yang berlaku.

“Banduan tidak mempunyai pengetahuan bagaimana untuk melindungi diri mereka,” kata aktivis Somyot Prueksakasemsuk, yang berdepan hukuman di bawah undang-undang penghinaan diraja.

Somyot dibebaskan bulan lalu dan memaklumkan kepada AFP bahawa dia tidak diminta menjalani ujian saringan Covid-19 ketika ditahan selama 10 minggu.

Ketika itu, dia tidak bimbang mengenai jangkitan virus berkenaan kerana tidak tahu peringkat risiko.

“Namun, selepas ini saya sangat takut. Mereka yang ada di dalam (penjara) adalah sangat berisiko dan ia tidak dapat dielakkan,” katanya.

Jumlah jangkitan dari penjara meningkat mendadak dari hanya 10 kes diumumkan bulan lalu.

Ramai aktivis sosial dijangkiti virus berkenaan selepas dibebaskan dari penjara.

Banduan di penjara seluruh Thailand mencecah angka 311,000 awal tahun ini, lebih 2.5 kali ganda daripada kapasiti rasmi.

Empat daripada lima banduan ditahan atas kesalahan dadah kerana undang-undang narkotik yang tegas.

Mereka boleh dipenjara selama sedekad hanya kerana memiliki beberapa pil methamphetamine.

Banyak sel dipenuhi banduan dengan setiap individu mempunyai ruang sekitar kurang 50 meter seorang.

“Ia sangat sempit berbanding berada di dalam keranda,” kata Menteri Keadilan, Somsak Thepsutin kepada media Februari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.